Malaysia Dateline

Manifesto Pakatan Harapan hampir siap

Biro Pendidikan Pemuda Harapan, Ashraf Mustaqim Badrul Munir memberitahu perincian mengenai manifesto blok pembangkang itu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hampir selesai sepenuhnya.

Menurut Ahli Exco Pemuda Bersatu itu, peringkat seterusnya adalah menggembleng gerak kerja bagi menyampaikan inti pati manifesto tersebut kepada pengundi di seluruh negara.

Ashraf Mustaqim Badrul Munir

“Kita sudah hampir selesai menyiapkan manifesto daripada Pakatan Harapan. Hanya tinggal untuk mobilisasi.

“Kita ambil pendekatan terus terarah pada golongan sasaran. Contohnya, pembaharuan dalam bidang pertanian sebagai penyelesai masalah,” jelasnya dalam slot forum ‘Hala Tuju Pemuda Harapan’ malam tadi.

Bagi Ketua Setiausaha Pemuda Harapan, Howard Lee pula, cabaran di pihak Pakatan Harapan adalah untuk menyalurkan mesej perubahan dengan pada masa sama mengekalkan ‘mood’ anak muda.

“Kegagalan kita menyampaikan mesej itu tanpa membosankan. Kita belum menyampaikan mesej itu secara berkesan,” akui Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Pasir Pinji berpendapat hasrat untuk membina semula negara akan menjadi kenyataan jika anak muda memahami agenda Pakatan Harapan antaranya berkaitan ekonomi masa depan.

“Ini bukan pertempuran parti politik tapi pertempuran rakyat Malaysia melawan pihak yang memang sangat bobrok dan penyamun yang dalam BN,” tegasnya dalam program anjuran Invoke Malaysia itu.

Sebaliknya, Howard berkata, rakyat akan terus menjadi mangsa sekiranya gagal menyingkirkan Umno-BN dengan meletakkan Pakatan Harapan di Putrajaya.

“Jika Pakatan Harapan tidak menang dan BN kekal memerintah, yang kaya dan berkuasa akan terus menindas, dan yang miskin akan terus tertindas,” tambahnya lagi.