Manifesto ‘Pening’ Pas

Manifesto ‘Pening’ Pas

Pas telah melancarkan manifesto PRU 14 baru-baru ini bersama-sama dengan rakan mereka, Berjasa dan Ikatan. Manifesto ‘bulan bintang’ yang dijanjikan itu mengandungi 20 tawaran utama. Apa yang menarik perhatian untuk ditelitikan adalah tawaran pertama iaitu “menghapuskan Goods and Services Tax (GST) yang membebankan rakyat dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia.

Agak menghairankan kenapa Pas hendak menghapuskan GST tetapi mengundi ‘berkecuali’ semasa undian belah bahagi bajet ini. Bukankah ‘berkecuali’ itu adalah bersamaan dengan menyokong BN.

Ini kerana meskipun ‘berkecuali’ ianya tidak akan menjejaskan undi majoriti BN tetapi ianya menunjukkan sikap Pas dengan berkecuali itu menjadikan jumlah yang menentang akan menjadi lebih kecil. Jika PAS benar-benar menolak GST sepatutnya Pas turut mengundi menentang bajet pada akhir tahun 2017 yang lepas. Ini kerana sebahagian besar pendapatan negara disasarkan kepada GST ini.

Maka, inilah sifat ‘pening’ Pas pada hari ini yang sukar untuk diterima oleh pengundi. Malah, pengundi tegar Pas sekarang ini berasa was-was dengan tindak-tanduk Pas yang ada pada hari ini.

Paling ketara sifat ‘pening’ Pas adalah berkaitan perlaksanaan syariah Islam di Malaysia yang dimasukkan dalam Teras Keenam di bawah tajuk “Pengharmonian Sistem Perundangan Dan Tadbir Urus Negara Selaras Dengan Kehendak Syariah.

Nyata sekali Pas telah menggugurkan agenda Hudud dan Qisas yang dibawa olehnya selama ini. Malah pernah keluar daripada mulut pimpinan Pas bahawa hudud itu adalah ‘nyawa’ mereka. Inilah taktik Pas yang sengaja menyembunyikan agendanya kerana tidak berani mempromosikan agenda hudud dalam PRU 14.

Begitu juga dengan pindaan Akta 355 tidak dijelaskan apakah sebenarnya hasrat mereka. Apakah Pas akan menyokong pindaan Akta 355 yang akan dibentangkan oleh kerajaan jika ianya tidak selari dengan kehendak Pas.

Pas melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan supaya Akta 355 dipinda dengan mengubah hukuman rotan daripada 6 sebatan kepada 100 sebatan dan hukuman denda maksima RM5000 kepada denda maksima RM100 ribu.

Berkemungkinan besar Menteri BN tidak akan membuat usul pindaan yang serupa dengan Pas. Berkemungkinan hukuman sebat itu mungkin sekadar dinaikkan daripada 6 sebatan kepada 40 sebatan. Adakah Pas akan bersetuju dengan pindaan sebegitu?

Selain itu, dikatakan juga bahawa pindaan Akta 355 diyakini akan mengekang industri maksiat. Sejauh manakah pindaan Akta 355 itu akan mengekang industri maksiat tidaklah dapat dipastikan kerana tiada kajian terperinci yang dikemukakan oleh Pas berkaitan hal yang demikian.

Umum mengetahui bahawa Akta 355 hanyalah terpakai ke atas orang Islam. Bagaimanakah pula dengan perlakuan maksiat oleh orang bukan Islam? Ini juga patut diperincikan dengan lebih jelas oleh Pas.

Manifesto Pas juga menyebutkan bahawa Pas akan memerangi rangkaian pengedaran dadah secara besar-besaran melalui pendekatan amar maaruf nahi munkar ke arah menjadikan Malaysia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Mungkin Pas juga perlu untuk cerminkan diri mereka sendiri kerana Kelantan (34,480 orang) adalah menduduki tempat ketiga penagih dadah yang berdaftar selepas Johor (45,254 orang) dan Kedah (39,748 orang) bagi tempoh 1988 – 2016 (Buku Maklumat Dadah 2016: Agensi Antidadah Kebangsaaan (AADK), hlm 40).

Oleh itu, para pengundi pasti akan tertanya-tanya apakah agenda anti dadah yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh Pas? Selama ini pun tidak pernah kedengaran suatu program khusus telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengurangkan masalah dadah di negeri Kelantan.

Justeru, jika dikatakan manifesto Pas adalah manifesto yang ‘pening’ maka ianya adalah selayaknya untuk dipanggil sedemikian. Pas telah menjanjikan bulan bintang kepada para pengundi tetapi gagal untuk menghuraikan dengan terperinci apakah kandungan sebenar manifestonya.