Manifesto PH tepati kehendak pengundi miskin bandar di  Titiwangsa

Manifesto PH tepati kehendak pengundi miskin bandar di Titiwangsa

Manifesto Pakatan Harapan (PH) terbukti selari dengan jerih getir rakyat di P119 Titiwangsa membabitkan golongan miskin bandar, kata calon Rina Mohd Harun.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sepanjang kempen selama lima hari dilakukan oleh jentera PH yang sudah memasuki Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Titiwangsa membuktikan apa yang digariskan dalam manifesto PH itu menepati naluri rakyat miskin bandar.

“Apabila saya turun bertemu pengundi mereka menyuarakan isi hati mereka, saya dapati isi kandungan manifesto Pakatan Harapan itu sama dengan kehendak rakyat.

“Ramai yang mengeluh harga barang naik kerana GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) membebankan ekonomi rumah tangga.

“Mereka juga mengeluh mengenai rumah mampu milik terutama mereka yang  tinggal di PPRT telah berkahwin masih lagi menetap bersama ibu bapa mereka kerana kesukaran memiliki rumah sendiri.

“Ada juga yang mengeluh bekalan ubat-ubatan yang dicatu mengakibatkan mereka terpaksa berulang alik ke hospital kerajaan untuk mendapatkan bekalan, telah menambahkan beban kos sara hidup mereka.

“Begitu juga dengan kekurangan peluang pekerjaan bagi golongan muda.

“Saya mendengarnya berulang-ulang kali keluhan yang sama diajukan kepada saya, sepanjang kempen lima hari ini, apabila saya berkesempatan mengunjungi tempat tinggal mereka,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Rina Harun ketika bertemu pengundi di kawasan premis perniagaan sekitar Desa Pandan.

Beliau berkata kebanyakan 71% pengundi Melayu dianggarkan separuh daripada mereka adalah miskin bandar yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000.00

Justeru katanya, sudah tiba masanya pengundi di Titiwangsa melakukan perubahan untuk menukar kerajaan BN kepada PH.

“Penduduk Titiwangsa mesti berani untuk berubah memenangkan calon PH bagi mendapat kerusi Parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baharu,” ujarnya.

Rina akan berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon Pas Mohammad Noor Mohammad pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Johari menang tipis majoriti 866 daripada calon Pas Ahmad Amri Asa’ad Khuzaimi pad PRU13.

Bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Sepang ini juga berkata, beliau tidak gentar berentap dengan dua pesaing lelaki, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan itu.

Beliau menyakini kekuatan sokongan pengundi akan beralih kepada dirinya kerana hari ini, ujarnya, gelombang rakyat adalah faktor penolak kepada peluang semua calon PH yang bertanding berpeluang majoriti besar untuk meraih kemenangan di seluruh negeri.

“Saya banyak mendengar suara rakyat, bukan lagi saya yang banyak bersuara ketika dalam tempoh berkempen ini.

“Apa yang saya dengar, rakyat tidak sabar-sabar untuk menolak kerajaan sedia ada. Sudah pasti sebagai seorang rakyat Malaysia yang waras, mereka akan merasai apa yang orang lain rasa, ditambah faktor kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PH) untuk membawa perubahan dalam kepimpinan negara.

“Kita tahu jika melihat kepada calon BN seolah-olah sokongan kuat akan diberikan kepada Datuk Seri Johari kerana beliau adalah menteri kabinet menjawat menteri kewangan kedua.

“Sudah pasti keyakinan pengundi terhadap beliau sedikit tercalar dengan isu yang membabitkan Datuk Seri Najib sebagai menteri kewangan pertama dan isu-isu lain yang saya fikir rakyat sudah mengetahuinya.

“Bagi saya sepanjang kempen ini saya telah memberikan 200 peratus usaha untuk melengkapkan jadual bertemu pengundi di semua 20 PDM dalam Parlimen Titiwangsa sehingga tengah malam sebelum 9 Mei ini.

“Saya dapat rasakan gelombang rakyat itu sedang berlaku untuk menolak BN dan Pas kali ini di Kuala Lumpur,” ujarnya yakin.

Rina Harun ketika bertemu dengan penduduk di Jalan Raja Uda Kampung Baru.

Situasi sokongan pengundi itu dapat dilihat pada siri ceramah umum pertama kali diadakan di Parlimen Titiwangsa di Flat Desa Pandan pada Selasa.

Penganjur telah menganggarkan 4,000 penyokong hadir walaupun hujan, tidak berganjak di padang yang basah dan lecak hanya untuk mendengar ceramah pimpinan dan mengenali calon PH dalam tempoh berkempen 11 hari ini.

Rina yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan ketika ditanya sekiranya, kemenangan memihak kepadanya apakah perkara yang terlintas difikiran untuk dilaksanakan kepada 65,000 pengundi di Titiwangsa.

“Saya bercadang untuk menubuhkan Pusat Khidmat Mesra Rakyat berpusat di Titiwangsa.

“Di situ akan ada khidmat yang lebih fokus kepada isu pendidikan, sosial dan ekonomi rakyat.

“Saya akan adakan kelas tuisyen percuma, mini perpustakaan, bimbingan kaunseling untuk golongan yang bermasalah terutama kepada ibu tunggal dan kaum wanita.

“Saya juga bercadang untuk memperjuangkan isu pendidikan dan pemilikan rumah mampu milik untuk golongan miskin bandar di Titiwangsa ini,” ujarnya.

Rina Harun sempat berswafoto bersama salah seorang pengundi  ketika mengadakan lawatan di Pasar Datuk Keramat ketika berkempen.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS