Malaysia Dateline

Manifesto Pilihan Raya antara keperluan pelaksanaan dan keutamaan

Manifesto pilihanrya umumnya dianggap sebagai “janji” yang mengikat sesebuah parti politik untuk dilaksanakan secara mutlak, sebaik sahaja sesebuah parti politik itu dapat menguasai serta membentuk kerajaan.

Demikian, begitulah pandangan serta kehendak dan persepsi umum. Bagi segolongan pihak tertentu, manifesto tanpa kompromi perlu dilaksanakan walau apa pun alasannya.

Realiti inilah juga yang sedang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) yang telah berjaya membentuk pemerintahan di Putrajaya dan di beberapa buah negeri, selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14).

Persoalannya apakah yang dimaksudkan dengan manifesto itu? Kamus Dewan mendefinisi manifesto sebagai “pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar (tujuan, dll) sesuatu parti politik sebelum pilihan raya.”

Manakala Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay Dictionary, mendefinisi manifesto sebagai “publication containing public declaration by a political party, ruler, etc of principles and policy.”

Bermakna manifesto merupakan pengisytiharan awam berkaitan dengan dasar atau prinsip sesuatu parti politik sebelum pilihan raya, tentunya ini merujuk kepada peramalan kemungkinan alternatif yang menjadi kerangka bertindak berkaitan dengan dasar serta prinsip yang akan dilaksanakan oleh sesebuah parti politik.

Ini bermakna, kewujudan manifesto berlaku dalam dua situasi berbeza, iaitu situasi sebelum pilihan raya dan situasi selepas pillihan raya, dua situasi berbeza yang tentunya akan menimbulkan kesan yang berbeza.

Dalam aspek lain, manifesto juga wujud dalam dua keadaan yang berbeza, iaitu keadaan yang dijangka dan keadaan yang diluar jangkaan.

Kedua-dua keadaan ini akan menyebabkan wujudnya data, fakta dan maklumat yang berbeza, secara perbandingan dengan merujuk pada peringkat awal manifesto dihasilkan, pastinya akan mengakibatkan wujudnya pertentangan antara keperluan pelaksanaan dengan keperluan tuntutan semasa yang berlaku.

Hakikat ini tentunya memungkinkan akan berlakunya gangguan ke atas strategi dan tindakan, sama ada dalam bentuk mikro mahu pun dalam bentuk makro berhubung dengan usaha untuk merealisasikan maksud yang terkandung di dalam manifesto yang dirangka.

Logiknya, atas pertimbangan ini maka pasti wujudnya kesukaran untuk memastikan ketepatan pelaksanaan kandungan manifesto dilakukan pada perkiraan skor 100 peratus, dalam tempoh masa yang ditetapkan, sebagaimana sasaran pada peringkat awal manifesto diwujudkan.

Maka dalam hal ini pertimbangan empat kuadran mengutama yang utama, perlu diambil kira dalam proses pembuatan keputusan berkaitan dengan pelaksanaan manifesto, iaitu; perkara penting yang perlu disegerakan, perkara penting tapi tidak perlu disegerakan, perkara tidak penting tapi perlu disegerakan dan perkara tidak penting yang tidak perlu disegerakan.

Pertimbangan lain yang wujud dalam konteks usaha pelaksanaan manifesto adalah pengaruh daripada faktor-faktor persekitaran yang berubah, faktor-faktor ini tentunya berada di luar daripada kawalan pembuat keputusan. Faktor-faktor persekitaran yang berubah, umumnya melibatkan; kedudukan ekonomi antarabangsa, realiti ekonomi domestik, perkembangan sosial, peraturan, undang-undang, prosedur, realiti politik serta pelbagai unsur lain yang mempengaruhi perubahan yang memberikan kesan kepada usaha pelaksanaan manifesto.

Pengaruh perubahan persekitaran ini, akan mengkibatkan wujudnnya keperluan untuk pengubahsuaian dan penyesuaian strategi pelaksanaan berdasarkan tuntutan keperluan dan perkembangan semasa.

Sekiranya tindakan penyesuaian serta pengubahsuaian tidak dilakukan, pastinya akan menimbulkan lebih banyak gangguan serta mudarat yang lebih besar terhadap sistem sosial, proses pengurusan dan pentadbiran serta ekologi ekonomi yang memberi kesan kepada prestasi pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Bersabit dengan itu, hakikatnya, pelaksanaan manifesto perlu bersifat anjal serta berorientasikan pelaksanaan berterusan melangkaui had tempoh masa, berdasarkan keperluan mengutamakan yang utama.

*Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan & Ekonomi, Universiti Pendidikan  Sultan Idris