Manogaran akui silap pakai baju logo PH

Manogaran akui silap pakai baju logo PH

Calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran hari ini mengakui kesilapannya memakai baju dengan logo PH dalam kawasan pusat menggundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.

“Ini adalah kesilapan saya sendiri. Hari ini saya mulakan hari pada awal pagi dan bergegas keluar.

“Saya terus menukar baju selepas diberi peringatan oleh SPR,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan Timbalan Pengerusi DAP Pahang berkenaan keluar dari pusat mengundi tersebut.

Mengulas insiden yang melanggar peraturan yang termaktub dalam Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, menjadi kesalahan mana-mana pihak termasuk calon membawa bahan kempen termasuk lambang parti di tempat mengundi dalam jarak 50 meter dari lokasi mengundi.

“Saya telah diberitahu perkara itu (tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti) sebentar tadi dan saya rasa pihak pemantau pilihan raya perlu menegur beliau.

“Bagaimanapun, tindakan telah diambil dengan meminta beliau keluar daripada kawasan tempat mengundi kerana dalam kawasan tersebut dan 50 meter darinya, tiada sesiapa pun dibenarkan membawa bahan kempen dan logo parti,” jelasnya.

Azhar Azizan berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ringlet hari ini.