Malaysia Dateline

Mansuh Akta Hasutan: Perlu lihat seksyen khusus libatkan kesalahan raja, kaum dan agama

Kementerian Dalam Negeri hari ini memaklumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 hanya boleh dipertimbangkan setelah seksyen khusus mengenai kesalahan melibatkan institusi Diraja, kaum dan agama dipindahkan dan dimasukkan ke dalam undang-undang Kanun Keseksaan atau pun diwujudkan undang-undang baru.

Timbalan Menteri Datuk Mohd Ajis Jamman berkata, pada masa ini kementerian bersama Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan lain sedang dijalankan bagi memastikan perkara-perkara yang berkaitan perlindungan institusi Diraja, kaum dan agama dapat dipelihara.

“Ini bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku dan keselamatan negara terus terjamin sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan,” ujarnya.

Beliau berkata demkian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanyakan kesediaan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, serta adakah Kerajaan berniat menggubal sebarang undang-undang bagi menggantikan akta tersebut untuk memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Menurut Azis (PH-Sepanggar) pemansuhan Akta Hasutan itu selaras dengan janji manifesto PH.

Justeru Kementerian telah pun menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan kajian terhadap undang-undang berkaitan keselamatan termasuklah Akta Hasutan 1948.

“Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia ditubuhkan untuk menilai dan memperhalusi setiap peruntukan di dalam undang-undang berkenaan berdasarkan piawaian hak asasi manusia selain mengenalpasti implikasi-implikasi keselamatan yang akan timbul jika dimansuhkan,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, Akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 sudah ada dan sedang dalam proses penyusunan.

Katanya lagi, kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan bagi menjalankan siasatan kerana undang-undang itu belum dimansuhkan dan mengarahkan penggunaannya dibuat secara berhemah.

Pemansuhan Akta Hasutan 1948 adalah antara janji kerajaan Pakatan Harapan dalam reformasi undang-undang di negara ini.