Malaysia Dateline

Mansuh AP: Petani, pengeluar tempatan terpaksa bersaing dengan barangan makanan import

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan kerajaan memansuhkan permit kelulusan (AP) barangan makanan sebagai bersifat populis dan tergesa-gesa.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berpendapat golongan petani dan pengeluar tempatan akan terpaksa bersaing dengan barangan makanan yang diimport.

Oleh sebab itu, jelasnya, sedikit sebanyak akan menjejaskan kelangsungan domestik.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, pemansuhan AP itu juga mengakibatkan rakyat terkesan bukan sahaja dengan sebarang kenaikan harga makanan di peringkat global, malah kesan buruk daripada kejatuhan nilai ringgit.

“Sebagai contoh, kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini dijangka akan menyumbang kepada kenaikan harga makanan sehingga 30 peratus dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

“Adakah ini berita baik untuk rakyat? Sudah tentu tidak,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, kerajaan bersetuju memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan yang bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi itu membolehkan sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram di Johor menegaskan bahawa tiba masanya untuk negara mula memikirkan kerangka bagi menyelamatkan isu ‘food security’ dan ‘food sovereignty’.

“Pengukuhan terhadap ‘self-sufficiency ratio’ (SSR) iaitu pengiraan peratusan makanan yang dihasilkan dalam negara, bagi pengeluaran komoditi pertanian untuk keperluan domestik – supaya ia dapat dijamin dan ditingkatkan untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.

Untuk rekod, walaupun AP dihapuskan, pihak yang mahu membawa masuk bahan agromakanan dari luar negara perlu mendapatkan Permit Import (IP) yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

IP diperlukan bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu masuk negara.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), berkata tindakan itu bagi memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit atau perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan.

Setiap tahun Malaysia mencatatkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas dengan barangan seperti beras meliputi 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus) dan sayur kobis bulat (60 peratus).

Baca Rakyat tertanya di mana kek aku yang dihiris-hiris

Baca Lelaki ini kongsikan tip isterinya rebus kerang tanpa air