Mansuh Auku bukti PH serius tunai janji manifesto

Mansuh Auku bukti PH serius tunai janji manifesto

Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sepertimana yang dinyatakan amat dihargai dan disanjung tinggi.

Malah apabila ianya berjaya direalisasikan, setidak-tidaknya ia membuktikan kesungguhan PH untuk menunaikan apa yang telah dilaung-laungkan sebelum ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Negeri Pulau Pinang, Amir Ghazali, AUKU sejak zaman pemerintahan BN telah mengekang kebebasan bersuara mahasiswa.

Amir Ghazali

Sehubungan itu katanya, reformasi sektor pendidikan oleh kerajaan PH melalui Kementerian Pendidikan akan mengukuhkan lagi institusi demokrasi dalam negara.

“Pemansuhan AUKU diharapkan dapat membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara serta keterlibatan mereka dalam aktiviti politik maupun kampus.

“Universiti juga harus menjadi pusat percambahan pemikiran yang kritis melalui aktiviti wacana atau forum bebas yang mampu mencipta tamadun baru kerana pembentukan masyarakat banyak dipengaruhi pemikiran dan anjakan sosial universiti lokal.

“Dengan penggubalan akta baru bagi menggantikan AUKU diharapkan ia seiring dengan semangat untuk memperkukuhkan demokrasi secara total, ” tegasnya lagi.

Tambah Amir lagi, dengan pemansuhan AUKU serta penggubalan akta baru nanti tidak akan ada lagi ‘tangan-tangan ghaib’ yang akan menyekat kebebasan bersuara mahasiswa.

“Kewujudan akta baru nanti diharapkan dapat memperkukuhkan lagi soal berkaitan pentadbiran dan urus selia, kebajikan dan perjalanan universiti yang lebih dinamik.

“Tanpa campur tangan ‘tangan-tangan ghaib’ tersebut, ia akan memberi banyak ruang dan peluang kepada mahasiswa menzahirkan pemikiran dan idea yang kreatif dan kritis.

“Ia bukan saja mampu menyediakan mereka sebagai barisan pelapis yang berani untuk membawa perubahan, tetapi juga untuk menunjangi kepimpinan masa hadapan negara, ” ujarnya.