Mansuh tugas perkeranian guru hanya langkah pertama

Mansuh tugas perkeranian guru hanya langkah pertama

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemansuhan tugas perkeranian dalam kalangan guru menerusi pelaksanaan lima inisiatif, berkuat kuasa bulan ini hanya sebagai langkah pertama.

Menurutnya, langkah bersifat intervensi jangka pendek itu dirangka dengan mengambil kira pandangan dalam kalangan pendidik yang juga kelompok penting di peringkat akar umbi.

Jelasnya, ia merangkumi usaha memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, membabitkan tiga intervensi demi merungkai kemelut pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif kedua ialah pengurusan data dan sistem dalam talian, merangkumi pelaksanaan dua intervensi yang menyaksikan semua pengumpulan data diambil daripada sumber maklumat sedia ada dalam sistem Kementerian Pendidikan.

“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya sebagai sumber rekod, justeru guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid.

“Teknologi menyaksikan penggunaan sistem ‘pengecaman wajah’ yang lazimnya wujud dalam telefon pintar, justeru kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan pendekatan ini, namun bukan dalam jangka pendek.

“Seiring pemansuhan peperiksaan Tahap 1 (murid tahun satu, dua dan tiga), sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid,” jelasnya.

Dr Maszlee berkata demikian ketika menyampaikan amanat pendidikan, bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’, di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir.

Maszlee berkata, inisiatif keempat pula merangkumi penyeragaman borang dan proses pemantauan menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi dibebani tugas perkeranian.

“Inisiatif terakhir ialah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, menerusi dua intervensi untuk memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

“Lima inisiatif ini hanya langkah pertama, manakala percaturan fasa kedua membabitkan penyediaan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran terbaik.

“Kementerian dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan warga pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) supaya ia diperkasakan, bukan hanya sekadar menukar nama maktab saja,” katanya lagi.