Malaysia Dateline

Mansuh UPSR: Apa kata bekas Menteri Pendidikan

Ramai yang bertanyakan pendapat saya tentang pemansuhan UPSR.

Ingin saya katakan, perancangan untuk menggantikan UPSR dengan sistem pentaksiran yang lebih holistik dan komprehensif bukan baharu.

Hal ini telah saya sebutkan semenjak tahun 2018 lagi apabila KPM membuat keputusan memansuhkan peperiksaan setara pada Tahap Satu sekolah rendah (Tahun Satu, Dua dan Tiga).

Pada waktu itu, KPM merancang untuk memansuhkan UPSR hanya apabila ekosistem yang kondusif telah diusahakan secara menyeluruh.

Antara perkara penting kepada ekosistem yang telah diusahakan untuk diwujudkan semenjak 2019 tersebut ialah:

1. Latihan yang cukup bagi guru-guru sekolah rendah untuk membuat pentaksiran bersepadu dan menyeluruh melalui program Latihan dalam Perkhidmatan (LADAP) yang berterusan.

2. Sistem data berasaskan aplikasi telefon bimbit yang memudahkan para guru menggantikan sistem Frog VLE yang kurang mesra pengguna lalu membebankan para guru. Sistem data aplikasi telefon bimbit tersebut telah diamanahkan kepada Jawatankuasa Data Raya (Big Data) KPM yang telah diwujudkan pada tahun 2019.

3. Pewujudan Jawatankuasa Data Raya di KPM bertujuan membina sistem data akumulatif murid Tahun Satu sehingga tamat sekolah rendah untuk penilaian aspek kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah, psikometrik dan juga kemahiran menggunakan kepintaran buatan (artificial intelligence). Visi utama di sebalik penubuhan JK Big Data di KPM adalah untuk memaksimumkan Penggunaan “Analitik Mendalam” (Deep Analytics) dalam membuat keputusan bermaklumat yang efisien dan berintegriti. (Malangnya JK ini telah dimansuhkan setelah bertukar kerajaan).

4. Mewujudkan sistem sokongan kepada kurikulum terutamanya dalam bidang kemahiran insaniah (softskills) seperti Sudut Pemidato, Gerakan STEM, Kelab Unesco, Dasar Hijau, Pendidikan Sivik Merentas Kurikulum, Kempen Membaca yang telah dilancarkan sejak 2018 lagi.

5. Yang paling penting ialah menggembalikan semangat dan jatidiri para guru dengan mengurangkan beban kerja perkeranian agar mereka dapat menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan mendidik demi kemenjadian murid.

6. Mendapatkan pandangan dan penglibatan dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), kesatuan-kesatuan guru dan pemegang taruh (stakeholders) yang lain agar pelaksanaan sistem sokongan kurikulum tersebut berasaskan pendekatan dari pihak bawah ke pihak atas (bottom up).

7. Mengambil pandangan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) yang mengutarakan Model Pendidikan Baharu (New Education Model) bertaraf dunia bagi menggantikan sistem pendidikan rendah yang ada dengan pendekatan serba baharu, yang mewajibkan pendidikan pra-sekolah dan mendedahkan pelajar sekolah rendah dengan STREAM (Science, Technology, Reading, Engineering, Arts and Mathematics) serta bahasa.

Jika menurut perencanaan, KPM pada tahun 2020 akan menghapuskan peperiksaan setara bagi Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) dahulu, sehinggalah kesemua ekosistem tersedia.

Kemuncak dari perancangan ini adalah pelaksanaan Model Pendidikan Baharu berdasarkan hasil laporan JKDPN. Matlamatnya untuk menggantikan pendidikan berasaskan peperiksaan (exam-oriented education) kepada pendidikan berasaskan pembelajaran (learning-oriented education).

Rasionalnya, pada waktu itu KPM di bawah kepimpinan saya melihat perubahan pada pendidikan mesti dilakukan secara bertahap-tahap di samping perlu berlaku secara holistik dan bukan secara tempelan dan terpancar-pancar.

Malangnya perubahan kerajaan telah membantutkan segalanya. Hasilnya kita dipaksakan dengan sistem pendidikan yang tiada halatuju dan caca merba pada waktu ini.

Tindakan mengumumkan pemansuhan UPSR pada pertengahan tahun setelah ibu bapa dan guru membuat segala persiapan untuk anak-anak mereka menghadapi peperiksaan tersebut adalah sesuatu yang janggal dan menimbulkan lebih kegelisahan pada ramai pemegang taruh.

Keputusan ini dilihat sebagai terburu-buru dan reaktif tanpa sebarang perancangan rapi untuk jangkamasa panjang.

Saya pasti, ada sebahagian guru, ibu bapa dan murid yang amat gembira dan teruja dengan pemansuhan UPSR ini. Cuma dalam kegembiraan kita, suka untuk saya ingatkan agar setiap keputusan yang diambil, mestilah disandarkan kepada perancangan yang rapi, menyeluruh dan terperinci.