Malaysia Dateline

Mansuh UPSR mungkin tindakan kebelakang

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan minggu lalu yang menyatakan bahawa ‘UPSR mungkin tak akan ada selama-lamanya’ merupakan tindakan kebelakang Kementerian Pendidikan Malaysia.

Alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan adalah disebabkan kaedah penilaian sedia ada yang terlampau mementingkan pencapaian peperiksaan menyebabkan murid tertekan dan akan digantikan dengan penilaian dalam bilik darjah.

Jika kita melihat secara mikro keadaan murid di Malaysia yang tertekan disebabkan peperiksaan ini, ia bukanlah disebabkan oleh mekanisme penilaian(UPSR) tetapi tekanan kepada murid berlaku pada cara sesebuah kecemerlangan murid itu dinobatkan.

Murid dinobatkan cemerlang apabila mereka mendapat keputusan peperiksaan semua A semata-mata.

Sedangkan ada dua punca mereka gagal mendapatkan keputusan A dalam peperiksaan; pertama kerana sukatan pelajaran sesuatu tahun masih belum bersesuaian untuk usia mereka. Kedua, murid juga mempunyai kepandaian dalam pelbagai bidang lain selain akademik.

Maka dengan 2 punca ini, murid yang gagal mendapatkan A dalam peperiksaan khususnya UPSR telah diisytiharkan gagal dalam tempoh 6 tahun belajar di sekolah rendah.

Jadi ini merupakan 1 ketidakadilan buat murid-murid kita.

Oleh itu, KPM bukan perlu memansuhkan UPSR, tetapi yang lebih penting adalah memperbaiki segala isu yang terkait dengan UPSR.

Mengekalkan UPSR sebagai instrumen penilaian murid akan membolehkan murid mempunyai arah tuju dalam pelajaran di sekolah rendah serta membina motivasi diri dalam pelajaran. Namun ia harus diperbaiki agar tidak memberi tekanan pada murid.

Sukatan pelajaran untuk sekolah rendah harus dikaji semula dan bersesuaian dengan teori psikologi kanak-kanak agar pendidikan pada usia kanak-kanak tidak membebankan.

Seterusnya penilaian dari segi disiplin atau sahsiah, kemahiran dan bakat dalam sukan serta kepimpinan harus dijadikan komponen dalam menobatkan seorang murid sebagai murid cemerlang, ia seiring dengan falsafah pendidikan negara yang mementingkan semua aspek kemanusian.

Seharusnya kepimpinan KPM termasuk menteri dan timbalan menteri yang merupakan bekas pendidik harus mengambil iktibar dari bencana yang telah menimpa pendidikan negara setelah PMR dimansukan dan digantikan dengan PT3.

PT3 yang mula dilaksanakan semasa Perdana Menteri Malaysia kini menjadi Menteri Pendidikan satu ketika dahulu, kononnya tiada pentaksiran berpusat dan hanya penilaian bilik darjah. Setelah setahun dua PT3 dilaksanakan, KPM mengesan kelemahan yang sangat banyak pada kaedah baru ini dan barulah diwujudkan semula pentaksiran berpusat.

Kesimpulannya perubahan dari PMR ke PT3 hanya melibatkan aspek tertentu sahaja dan sepatutnya tak perlu PMR dimansuhkan. Yang menerima akibat adalah anak murid kita sendiri.

Lainlah jika terdapat ahli politik yang suka menggunakan pendidikan sebagai alat menaikkan populariti mereka agar dikenang dalam sejarah pendidikan negara semata-mata. Mungkin cara mansuh-buat adalah strategi politikus dinegara kita.

————————

Syazmir adalah penulis politik – Tinta Siyasah yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.