Malaysia Dateline

Mansuhkan Akta Mesin Cetak, pinda Akta Komunikasi Multimedia

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, meminda Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan memansuhkan Ordinan Darurat berkaitan berita palsu.

Beliau menegaskan tindakan signifikan tersebut penting bagi memulihkan kebebasan media dalam negara ini yang jatuh 18 anak tangga ke 119 sepertimana laporan Reporters Without Borders (RSF) 2021.

Lebih memalukan, katanya, apabila kedudukan indeks itu lebih buruk berbanding negara-negara terkebelakang dalam aspek demokrasi dan ekonomi seperti Zambia yang berada pada kedudukan 115, Guatemala (116), Gabon (117) dan Congo di tangga 118.

“Pemansuhan dan pindaan undang-undang ini amat penting bagi mengembalikan kebebasan media dalam negara ini sepertimana yang dinikmati sebelum ini serta kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi memulihkan kebebasan media dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Permatang Pasir itu menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah pun memperlihatkan kesungguhan dan kehendak politik untuk memulihkan kebebasan media yang teruk dikawal kerajaan BN sebelum 9 Mei 2018.

Antara tindakan yang PH lakukan seperti pemansuhan Akta Berita Tidak Benar pada 2018 serta akses tanpa sekatan yang diberi kepada semua pihak termasuk parti pembangkang di media massa.

Tambah beliau, pemulihan kebebasan media ini kemudiannya telah dibuktikan dengan kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Kebebasan Media Negara apabila pada tahun 2018 hingga 2020, kedudukan Indeks Kebebasan Media Negara mencatat kenaikan daripada kedudukan 145 semasa zaman BN ke tangga 101 di zaman PH.