Mansuhkan autonomi jadikan Kashmir “penjara terbesar”

Mansuhkan autonomi jadikan Kashmir “penjara terbesar”

Tindakan kerajaan India pimpinan Perdana Menterinya, Narendra Modi memansuhkan status autonomi ke atas Kashmir melalui Artikel 370 pada 5 Ogos lalu telah menjadikan wilayah berkenaan sebagai “penjara terbesar” buat penduduknya yang majoritinya beragama Islam, kata Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ahmad Azam Abdul Rahman (gambar atas).

Kata beliau, ekoran pemansuhan status autonomi itu, pastilah penduduk Kasmir akan bangkit menentang dan konflik di wilayah yang sedia bergolak itu akan menjadi semakin buruk dan berlarutan.

Di bawah status autonomi yang terpakai sebelum ini kata beliau, penduduk Kashmir dibenarkan melaksanakan pemerintahan sendiri, mempunyai parlimen sendiri untuk membuat undang-undang kecuali dalam hal keselamatan dan dasar luar yang tertakluk kepada kerajaan India. Tanah-tanah di Kashmir tidak dibenarkan dibeli oleh orang yang bukan penduduk Kashmir.

Tetapi apabila status autonomi itu dimansuhkan, kerajaan India akan berkuasa penuh menentukan pemerintahan di Kashmir dan tanah-tanah di Kashmir tidak lagi terhalang untuk dibeli oleh orang lain, yang bukan rakyat Kashmir.

Konfik yang akan berlaku di Kashmir, jika tindakan India ini tidak dihalang adalah sama seperti yang dihadapi oleh penduduk Palestin berhadapan dengan Israel, jelasnya.

Legasi Penjajahan British

Konflik yang berterusan di Kashmir yang sebelum ini menyebabkan berlaku tiga peperangan antara India dengan Pakistan adalah kesan legasi penjajahan British di wilayah berkenaan.

Kata Ahmad Azam, umumnya British akan meninggalkan masalah kepada negara-negara yang pernah dijajahnya supaya berlaku konflik antara minoriti yang diperkasakan dengan majoriti yang dilemahkan.

Di Kashmir, sebelum merdeka bersama India dalam 1947, seorang beragama Sikh telah diletakkan sebagai raja di situ, sedangkan majoriti penduduk Kashmir beragama Islam. Dan sehingga kepada status akhir rundingan kemerdekaan India dengan British, India tidak pernah mendapatkan referandum persetujuan daripada penduduk Kashmir, sehingga kini.

Apa yang dilakukan berhubung kemerdekaan itu adalah satu perjanjian dibuat dimana Kashmir diberi status atau hak sebagai wilayah outonomi sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata status Kashmir mesti ditentukan oleh referandum tetapi semua itu tidak dilakukan, jelas Ahmad Azam lagi.

Katanya, Kashmir terbahagi kepada dua, sebahagiannya cenderung kepada Pakistan dan sebahagiannya memihak kepada India, dan inilah yang menimbulkan konflik antara Pakistan dengan India selama ini.

Kerana Menang Besar

Kerajaan India yang dipimpin Modi tahu akan impak serta kesan yang akan timbul atas keputusan dan tindakannya memansuhkan status autonomi kepada Kashmir. Ia seolah-olah disengajakan, kata Ahmad Azam.

Disebabkan itulah katanya, kerajaan India, setelah pengumuman itu dibuat, mengerahkan ribuan askarnya ke Kashmir, sehinggakan dikatakan seorang askar diperintahkan mengawal sepuluh orang penduduk Kashmir dan ahli-ahli politik Kashmir yang menentang keputusan itu ditangkap.

Selain itu, semua jalan perhubungan dan kemudahan komunikasi seperti internet telah ditutup dan perintah berkurung dikeluarkan.

India mengambil keputusan tersebut selepas parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata Party (BJP) yang dipimpin Narendra Modi menang besar dalam pilihan raya umum India yang baharu selesai.

Melalui mandat dan sokongan besar yang diperolehinya, Modi berhasrat menguasai sepenuhnya Kashmir dengan membatalkan Artikel 370 yang memberikan kuasa autonomi kepada Kashmir biarpun keputusan dan tindakannya itu dibuat secara unilateral (bersendirian), tanpa sebarang rundingan.

Reaksi Antarabangsa

Pengumuman yang dibuat oleh Modi mendapat reaksi segera masyarakat antarabangsa khususnya dari Pakistan, jirannya yang memang berkonflik dengan India dalam isu Kashmir. Perdana Menterinya, Imran Khan menyatakan bantahannya dan menggesa PBB bertindak segera bertindak menghentikan tindakan unilateral India itu.

OIC juga difahamkan, atas desakan Pakistan, akan mengambil langkah-langkah wajar supaya India segerakan menghentikan tindakan tersebut dan tidak menimbulkan masalah dalam isu Kashmir kerana Kashmir terbahagi kepada dua, iaitu pihak yang memihak kepada India dan pihak yang memihak kepada Pakistan.

Pemimpin Turki, Recip Tayyip Erdogan juga telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan menawarkan diri untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian kepada tindakan bersendirian India itu.

Ahmad Azam berkata, masyarakat dunia khususnya dunia Islam melihat apa yang dilakukan oleh India yang dianggap menceroboh Kashmir itu telah memburukkan imej India di mata dunia.

Katanya lagi, kerajaan India harus ingat bahawa warga India berada di merata tempat di dunia ini terutama di negara-negara Islam dan mereka itu dilindungi dengan baik. Justeru tindakannya itu ke atas penduduk Kashmir boleh memburukkan keadaan.

India yang selama ini berbangga sebagai demokrasi terbesar di dunia sepatutnya berasa malu kerana bertindak secara diktator ke atas Kashmir, ujarnya.

Kata Ahmad Azam apa yang membimbangkan sekarang mengenai reaksi dunia terhadap pencerobohan India ke atas Kashmir ini ialah, masyarakat dunia cuma bising dan marah sebagaimana mereka berdepan dengan isu Palestin dengan Israel, tanpa sebarang tindakan untuk menyelesaikannya.

Namun begitu tambahnya, dengan adanya penyaluran maklumat seperti melalui internet mengenai isu Kashmir ini, adalah diharapkan ia dapat menyemarakkan kebangkitan rakyat Kashmir, seterusnya dapat menuntut hak demokratik mereka bagi menentukan hala tuju negara mereka sendiri.

Waktu itu katanya, beliau percaya majoriti masyarakat dunia akan memberikan sokongan kepada mereka. Ia sekali gus akan mendesak India supaya membatalkan hasratnya untuk menjajah Kashmir.

Beliau turut menyeru masyarakat dan pemimpin-pemimpin dunia supaya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak demokratik India yang jelas melanggar perjanjian yang di buat pada 1947 itu.