Malaysia Dateline

Mantan Menteri Pertahanan persoal peruntukan pemulihan aset ATM

Mantan Menteri dan Timbalan Pertahanan membangkitkan beberapa persoalan anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 berhubun usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara ketika pandemik COVID-19.

Perbelanjaan pembangunan tahun ini telah ditingkatkan daripada RM3.083 bilion ke RM4.505 bilion.

Bagaimanapun Mohamad Sabu dalam komentar awal selepas pembentangan Belanjawan 2021 berkata, hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion ini (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebaik-baiknya pihak Kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaikpulih?

“Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak Kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM,” katanya.

Dalam kenyataan bersama Senator Liew Chin Tong, Mohamad juga mempersoalkan, peruntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan siber negara.

“Kami turut ingin tahu sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia.

“Pada bulan September tahun ini, ketika ucapan Hari Ulang Tahun ke-87 ATM, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Affendi Buang TUDM telah mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik.

“Kami berharap pihak kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya,” katanya.

Berhubung rancangan kerajaan untuk membina 1000 unit rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) yang baru, beliau juga ingin tahu apakah usaha kerajaan untuk membaik pulih beribu unit RKAT yang tidak selamat diduduki?

Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki hampir 2000 unit RKAT. Pada tahun 2020, peruntukkan RM150 juta telah disediakan dan sebanyak 6000 unit RKAT disasarkan untuk kerja-kerja pembaikan.

“Kami berharap sementara kerajaan ingin bina unit RKAT baru, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga.

“Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.