Malaysia Dateline

Abdul Hadi 3

Manusia boleh berubah bila-bila masa, kata Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Aang berkata, dalam soal kerjasama antara Pas dengan Umno, semua pihak perlu sedar bahawa selain Umno, Pas juga mempunyai latar belakangnya sendiri.

Beliau berkata demikian apabila ditanya berkenaan sejarah dan latar belakang Umno yang melakukan banyak perkara terhadap Pas dan ahli-ahlinya satu majlis dialog di Perak minggu lalu.

“Pertama, kita kena sedar latar belakang ini bukan sahaja Umno, Pas pun ada latar belakang. Dalam Pas, ada yang tengah-tengah kuat Pas, akhirnya lari daripada Pas. Manusia boleh berubah bila-bila masa.

“Jadi kita jangan pakai hukum akal, kena pakai hukum Allah. Hukum Tuhan yang mengajar kita menarik manusia seramainya kepada kebaikan,” kata beliau.

Jelasnya lagi, apabila melihat orang melakukan kesalahan, tanggungjawab kita bukan menghukum, tetapi menasihat supaya kembali ke pangkal jalan kerana takdir seseorang pada masa akan datang bukan urusan kita.

Ujarnya, Pas mengambil langkah mengajak manusia seberapa ramai kepada Islam, orang yang salah balik ke jalan yang betul.
“Dalam Islam, membetulkan orang hendaklah diutamakan daripada menghukum orang. Jangan menghukum dulu, kalau boleh biar orang itu kembali ke pangkal jalan. Ini tanggungjawab kita,” kata Ahli Parlimen Marang itu.