Malaysia Dateline

Mapim bantah himpunan LGBT, gesa kerajaan ambil tindakan tegas

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak dengan sekeras-kerasnya himpunan LGBT atas nama Hari Wanita Sedunia yang telah diadakan oleh kumpulan yang berarak di Kuala Lumpur semalam.

Ia bukan sahaja bertentangan dengan polisi kerajaan, malah bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan juga budaya timur yang menjadi acuan hidup dikalangan masyarakat dalam negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, LGBT secara terang-terangan mempamirkan kewujudan mereka dan ingin mempengaruhi pandangan masyarakat atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.

“Jeritan ‘Hidup LGBT’ yang dilaungkan dalam perarakan tersebut amat memalukan dan cuba mempamirkan keberanian mereka menghadirkan suara secara terbuka atas nama Hari Wanita Sedunia.

“Usaha mereka merupakan tindakan oportunis.

“Malah majoriti warganegara ini sama sekali tidak dapat menerima konsep hidup songsang yang digagaskan dari barat, ” ujarnya lagi.

Menurut Mohd Azmi lagi, Mapim membantah percubaan kumpulan tersebut yang tidak langsung menghormati nilai, budaya dan kerukunan hidup beragama yang disepakati oleh rakyat negara ini.

“Apakah sebenarnya manfaat yang diperolehi oleh kumpulan tersebut yang dilihat bersedia menjadi alat propaganda kepada gaya hidup barat yang tidak produktif untuk negara.

“Dalam kemelut yang sedang dihadapi negara serta semua pihak sedang bertungkus lumus menghapuskan penyelewengan urus kelola negara menangani isu kos sara hidup, kenapa pula kumpulan ini bersungguh-sungguh mendesak budaya hidup tidak bertamadun tersebut.

“Sehubungan itu, kumpulan ini harus segera berhenti meneruskan agenda mereka mempengaruhi masyarakat untuk menerima propaganda LGBT dan kembali kepada hidup lebih waras dan siuman serta membangun tamadan manusia yang lebih mulia, ” tegasnya lagi.

Tambah beliau lagi, sejajar dengan itu, Mapim menggesa kerajaan supaya segera bertindak dengan sewajarnya agar kumpulan ini tidak menimbulkan kekacauan sosial yang mampu menodai ketertiban masyarakat.