Malaysia Dateline

Mapim buat memorandum bantah World Jeddah Festival

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menghantar memorandum bantahan penganjuran World Jeddah Festival kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, dalam masa terdekat.

Presidennya, Mohd Azmi berkata memorandum tersebut akan mengumpulkan kira-kira 1,000 tandatangan bantahan terhadap penganjuran hiburan yang bakal diadakan pada pertengahan musim haji.

Katanya, tindakan itu memalukan Kerajaan Saudi yang meliberalisasikan dasarnya untuk menjadi hab hiburan antarabangsa yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kami marah dengan dasar tidak bermoral ini yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan Saudi yang merancang untuk menjadikan tanah Arab itu sebuah pusat hiburan bertujuan untuk menjana pendapatan berbilion ringgit.

“Justeru, kami akan memanggil semua organisasi Islam untuk bersatu menangani masalah unat Islam di Asia Barat dengan menganjurkan Persidangan Ummah untuk perpaduan.

“Kami akan menggerakkan semua masjid di Malaysia untuk meningkat kesedaran rakyat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan konflik di rantau ini dari perspektif politik geo dan hegemoni kuasa-kuasa imperialis,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Tertutup Khas bersama Ulama, Cendekiawan, dan Aktivis dipejabat Mapim hari ini.

Tambahnya, pihaknya turut akan memanggil organisasi Islam untuk bersatu menangani masalah umat Islam di Asia Barat dengan menganjurkan Persidangan Ummah untuk perpaduan.

Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Ustaz Ghani Samsudin, dan Pengerusi Masjid Dunia Pertahanan Al Aqsa (MANAR), Datuk Seri Sheikh Ahmad Awang.

Sementara itu, Azmi berkata, 20 NGO lain akan turut serta bersama menghantar memorandum terdiri daripada badan seperti Mapim, Shurah, Manar, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT), dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Kami akan menganjurkan satu pertemuan para ulama untuk menghidupkan kembali Mesej Amman sebagai alat untuk mewujudkan perpaduan ummah,”ujarnya.