Malaysia Dateline

Mapim dan NGO Islam seru solat hajat selamatkan Al Aqsa

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama dengan Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Wira Ustaz Abdul Ghani Samsudin menyeru umat Islam seluruh negara untuk mengadakan solat hajat memohon supaya menyelamatkan Masjid Al-Aqsa As Syarif.

Malah seluruh imam masjid dan surau diseluruh negara dipohon untuk melaksanakan solat hajat tersebut bersama anak qaryah memohon kepada Allah agar melindungi Masjid Al-Aqsa As Syarif dan semua saudara Islam Palestine yang menunaikan ibadah ramadan di masjid tersebut.

“Dalam beberapa hari sejak kebelakangan ini, Masjid Al-Aqsa dan pengunjungnya telah diserang Polis Israel beserta dengan puak teroris serta keadaan yang masih tegang memerlukan seluruh umat Islam untuk mengambil perhatian berat terhadap kemuliaan masjid tersebut.

“Berita pertempuran warga Palestine dan Polis Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa dalam beberapa hari ini amat bahaya dan berkemungkinan mencetuskan pertumpahan darah.

” Sehingga kini ratusan warga Palestine telah tercedera dan ada yang terbunuh ekoran tindakan ganas polis Israel tersebut sehinggakan terdapat beberapa buah video yang tular dari masjid tersebut memperlihatkan keadaan yang tegang dan genting,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut juga mencatatkan kumpulan teroris dan zionis Israel sedang nekad melakukan keganasan besar-besaran ke atas Masjid Al-Aqsa sempena menyambut ulang tahun kewujudan negara Israel pada 14 Mei yang akan datang.