Mapim desak kerajaan lucut penyertaan Myanmar dalam sukan SEA

Mapim desak kerajaan lucut penyertaan Myanmar dalam sukan SEA

Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan melucutkan penyertaan Myanmar di Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung ketika ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, desakan itu dibuat sebagai tanda protes dengan tindakan Myanmar yang melancarkan semula operasi ketenteraan di Rakhine.

Katanya, Myanmar dijemput menyertai sukan itu atas nama keamanan dan persabahatan tetapi kerajaan negara itu sebaliknya melakukan kekejaman terhadap rakyatnya terutama kanak-kanak juga wanita.

“Kami tidak boleh terima tindakan ini. Mereka berseronok di sini tetapi etnik Rohingya dilaporkan dibunuh dan diperlakukan dengan kejam setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar berhubung keputusan Myanmar melancarkan operasi ketenteraan menentang masyarakat Rohingnya di Myanmar, semalam.

Sehubungan itu, Mapim akan menghantar surat bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan Ketua chef-de-mission (CDM), Myanmar ke Sukan SEA 2017.

Pada masa sama, Mapim dan beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan Islam sepakat menggesa negara Asean memberi tekanan kepada Myanmar untuk menghentikan operasi ketenteraan.

“Kami juga mendesak Setiausaha Agung Asean memanggil mesyuarat khas menyelesaikan konflik ini.

“Kami mahu Penasihat negara Myanmar, Aung San Suu Kyi memainkan peranannya dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan hak kumpulan minoriti,” katanya.

CATEGORIES
TAGS