Malaysia Dateline

Mapim gesa dewan rakyat usulkan pendirian Malaysia mengenai Gaza, Kashmir,Rohingya

Mohd Azmi Abdul Hamid

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa sidang Parlimen yang sedang berlangsung kini supaya segera mengusulkan pendirian Malaysia mengenai situasi di Gaza, Kashmir dan keadaan pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, sejak 30 Mei tahun ini lebih 140 rakyat Palestin telah mati dan lebih 16,000 cedera ditembak di Gaza oleh tentera pengganas Israel.

Jelasnya, rakyat Palestin yang bangkit untuk kembali ke tanah mereka yang dijamin dibawah Resolusi 142 PBB telah ditembak dengan brutal oleh tentera Israel yang kejam.

Malah katanya lagi, yang terbunuh termasuk kanak-kanak, remaja, wanita, warga emas, jurnalis serta pekerja bantuan perubatan.

“Kini serangan udara dan pengeboman paling sengit sejak serangan 2014 yang lalu sedang dilancar oleh tentera penceroboh keatas Gaza.

“Paling parah ialah rakyat biasa yang menjadi mangsa walaupun Israel mendakwa serangan disasarkan ke lokasi pejuang Hamas.

“Hakikatnya sejak 2007 kepungan haram Israel keatas Gaza dikuatkuasakan, rakyat Palestin di Gaza menderita akibat terputus makanan, ubatan, bekalan air bersih dan elektrik, ” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, prasarana pendidikan dan kesihatan, kediaman yang musnah serta kepungan keatas pergerakan keluar dan masuk rakyat Gaza juga menyebabkan lebih 2 juta rakyat hidup dalam keadaan yang amat sukar.

“Sejumlah 80 peratus dari penduduk bergantung kepada bantuan dari luar.

“Sementara itu keadaan di Jammu, Kashmir juga sangat meruncing apabila pembunuhan berleluasa terhadap orang awam Kashmir oleh tentera India.

“Berita yang jarang tersiar mendedahkan operasi menangkap, menyiksa dan membunuh rakyat Kashmir jauh lebih teruk dari apa yang berlaku di Palestin, ” tegasnya.

Mohd Azmi juga berkata, laporan mengenai penafian hak dan operasi genosid oleh tentera India sangat berleluasa di Kashmir.

Tambahnya lagi, pembunuhan tanpa bicara (extrajudicial murder) berlaku begitu kerap dan tiada bantahan antarabangsa yang disuarakan.

“Manakala situasi 1.3 juta pelarian Rohingya di Bangladesh serta lebih 200,000 di kem IDP Arakan berada dalam keadaan hidup atau mati.

“Mereka bertarung hidup dalam keadaan daif di kem-kem pelarian tanpa perlindungan, makanan dan rawatan kesihatan yang mencukupi.

“Hampir separuh dari pelarian Rohingya yang berada didalam maupun luar Myanmar adalah terdiri dari golongan kanak-kanak, ” katanya lagi.

Beliau juga berkata, situasi di kem pelarian samada di Bangladesh maupun Myanmar amat menyedihkan.

Disamping itu katanya, baru-baru ini bencana musim monsun telah memusnahkan ribuan khemah perlindungan pelarian Rohingya.

“Perjanjian antara Bangladesh dan Myanmar untuk repatriasi pelarian Rohingya dihantar balik ke Myanmar masih dalam keadaan tidak menentu kerana jaminan keselamatan tidak meyakinkan.

“Yang jelas, isu Rohingya yang tempias kesannya sehingga ke rantau Asean mewajarkan Malaysia bertindak menekan Asean, PBB dan juga OIC untuk memaksa Myanmar tunduk kepada undang-undang antarabangsa.

“Oleh kerana itu Mapim menggesa Parlimen yang sedang bersidang memberi ruang untuk membincang dan meluluskan resolusi untuk dihantar kepada agensi antarabangsa yang berkaitan, ” sarannya lagi.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan harus mengambil inisiatif dan berperanan menyelesaikan isu berkaitan dengan mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media antarabangsa mengenai pendirian yang diambil kini.