Mapim harap lebih banyak bantuan ‘Food Flotilla Myanmar’

Mapim harap lebih banyak bantuan ‘Food Flotilla Myanmar’

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berharap lebih ramai pihak menyumbangkan bantuan untuk misi ‘Food Flotilla for Myanmar’.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata mereka menyasarkan 1,000 tan pelbagai barangan, sedangkan setakat ini hampir 500 tan barangan keperluan harian, makanan dan ubat-ubatan sahaja telah dikumpulkan.

“Kita amat berharap sasaran itu tercapai supaya ia dapat memberi manfaat kepada lebih 30,000 etnik Rohingya yang tertindas,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog misi berkenaan, di Shah Alam hari ini.

Misi itu dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Mapim dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) daripada Turki.

Beliau berkata bantuan itu akan turut disalurkan kepada etnik Rohingya yang berada di kem pelarian di Bangladesh.

‘Food Flotilla for Myanmar’ yang menggunakan kapal Nautical Aliya akan disertai lebih 200 sukarelawan daripada pelbagai negara dan dijangka belayar ke Myanmar pada 3 Feb ini.

Mohd Azmi berkata misi pelayaran kemanusiaan kira-kira 18 hari yang membawa sukarelawan perubatan, tenaga pengajar dan pengamal media tempatan serta antarabangsa itu turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai badan bukan kerajaan seluruh dunia.

COMMENTS

Wordpress (0)