Mapim kecam UAE beri Anugerah tertinggi kepada PM India

Mapim kecam UAE beri Anugerah tertinggi kepada PM India
(kiri) Narendra Modi dan (kanan) Mohammad Zayed. Foto: Khaleej Times.

Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelar Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana memberi anugerah kehormatan awam tertinggi kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi di saat Kashmir sedang berhadapan dengan krisis dan minoriti Islam di negara itu di tindas.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penganugerahan tersebut dianggap keterlaluan dan memalukan bagi UAE dalam keadaan dunia menyamakan Modi sebagai penindas komuniti minoriti di India.

Malah katanya, penganugerahan itu secara tidak langsung menunjukkan UAE dengan secara terbuka telah menerima dan mengangkat seorang penjenayah.

“Dunia terkejut apabila baru-baru ini India memutuskan untuk membatalkan Perkara 370 Perlembagaan India, dan menghapuskan status khas Kashmir.

Mohd Azmi Abdul Hamid

“Keputusan UAE mencerminkan ketidakperihatinan negara itu terhadap pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. Malah yang paling teruk, nampaknya mereka tidak peduli terhadap kehidupan orang Islam yang dianiaya di bawah pentadbiran Modi.

“Hakikatnya, India yang bekerjasama rapat dengan Israel dan anugerah penghormatan yang diberikan kepada Modi sekaligus mencerminkan bagaimana UAE tidak mempedulikan sentimen umat Islam,” katanya¬† dalam satu kenyataanpada Ahad lepas..

Azmi berkata, UAE sebenarnya sedang mengiktiraf tindakan Modi untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dan mencabuli hak asasi manusia yang terus dilaksanakan dalam agenda supremasi Hindu (Hindutva).

Beliau turut memetik Putera Mahkota UAE Mohammad Zayed (MBZ) yang berkata: “Kami mempunyai hubungan strategik dan komprehensif dengan India, yang diperkuat oleh peranan penting, Perdana Menteri Narendra Modi, yang memberi rangsangan ini,”

“Adakah MBZ mahu mengabaikan penganiayaan berterusan umat Islam di India oleh kaum nasionalis Hindu? Pelbagai usaha yang mensasarkan umat Islam kini semakin berleluasa di India dan didokumentasikan oleh agensi-agensi hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami menyeru negara-negara Islam untuk memprioritaskan agenda mereka untuk melindungi kehidupan umat Islam di bawah penindasan dalam pelbagai konflik di seluruh dunia. Termasuk Kashmir.

“Ironinya, beberapa negara Islam tidak memperlihatkan keprihatinan mereka terhadap nasib Muslim di sana tetapi sebaliknya menerima Modi.

“Kami menggesa UAE untuk membatalkan anugerah yang diberikan kepada Modi dan menyeru semua untuk menjalankan tanggungjawab melindungi masyarakat Islam daripada kekejaman rejim Modi,” ujarnya.