Malaysia Dateline

Mapim kutuk serangan jet pejuang zionis di Gaza

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya serangan jet pejuang zionis Israel yang mengebom beberapa kawasan di wilayah Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan setakat semalam mencederakan beberapa warga Gaza dan menghancurkan beberapa buah bangunan.

Malah katanya, ia boleh menjadi lebih parah sekiranya peperangan meletus antara Gaza dan juga Israel.

“Serangan rambang Israel kebiasaannya mengakibatkan warga Gaza yang akan menjadi mangsa.

“Dalam situasi yang amat genting di Gaza, serangan tersebut akan menambahkan lagi kesengsaraan mereka.

“Manakala tentera Israel pula sering melancarkan serangan yang berskala besar keatas Gaza bagi menunjukkan kekuatannya,” jelas beliau lagi.

Oleh kerana itu katanya, Mapim menggesa PBB supaya segera bertindak dengan menyekat peperangan dari tercetus dan membebaskan Gaza dari kemelut yang telah berlarutan lebih 13 tahun.

“Setakat ini warga Gaza sedang menderita akibat kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, air dan juga elektrik.

“Apa yang dikesalkan ialah negara-negara Islam gagal bersatu untuk membantu Gaza.

“Lebih malang apabila terdapat negara Arab yang semakin rapat dan menjalinkan hubungan dengan Israel,” tegasnya.

Sehubungan itu kata Mohd Azmi, kerajaan digesa supaya segera menyatakan pendirian dengan tegas serta menyalurkan bantuan kepada Gaza,

Tambahnya lagi, inisiatif perlu diambil dengan mengusulkan kepada OIC supaya diadakan satu sidang khas bagi membebaskan Gaza dari kepungan Israel.