Mapim minta jemaah haji berdoa untuk Rohingya

Mapim minta jemaah haji berdoa untuk Rohingya

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru semua muslimin khususnya dari Malaysia yang berada Mekah berdoa dan melakukan solat hajat memohon Allah melindungi warga Rohingya yang kini diserang tanpa belas kasihan oleh tentera Myanmar dan ekstrimis Buddha di Myanmar.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua kaum Muslimin membela kaum yand dizalimi.

“Setiap Muslimin yang berada di tanah suci perlu mengguna kesempatan untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh agar malapetaka besar yang menimpa etnik Rohingya dipelihara Allah SWT dan mereka yang bertanggungjawab dihukum Allah dengan menimpakan balasan yang sewajarnya,” kata Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohd Azmi berkata, umat Islam perlu berdoa agar saudara mereka di Arakan diberi kekuatan untuk membela diri dari penindasan golongan penzalim di Myanmar.

{loadposition myposition}

“Mereka perlu memohon kepada Allah SWT agar golongan tertindas Rohingya mendapat pembelaan.

“Keadaan kini sangat parah. Kanak kanak dan wanita Rohingya tidak berdosa dibunuh dengan zalim. Jika kaum Muslimin tidak berdoa, bermakna erti persaudaraan dalam Islam tidak ada kesan samasekali dan ribuan saudara seagama Rohingya yang akan mati tidak ada kaitan apa-apa dengan kaum Muslimin,” katanya.

Etnik Rohingya, komuniti tidak bernegara terbesar di dunia, melarikan diri beramai-ramai ke Bangladesh, dalam cubaan mengelak keganasan terbaharu di Rakhine yang berlaku antara kumpulan militan dan tentera Myanmar.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan pada Isnin, lebih 3,000 tiba di Bangladesh dalam tempoh tiga hari lalu sebagai usaha menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.