Malaysia Dateline

MAPIM Sarawak saran pertimbangkan beri kebenaran pelajar balik

Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak menyarankan supaya kerajaan negeri ini menimbangkan kebenaran untuk pelajar di luar negeri kembali ke negeri ini semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)masih dikuatkuasakan.

Menurut Yang Dipertuanya, Omar Immun, terdapat banyak sentimen diluahkan oleh ibu bapa dan pelajar susulan lanjutan tempoh PKP sehingga 28 April.

Antaranya, jelas beliau ialah soal kebajikan para pelajar sepanjang tempoh PKP lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan diikuti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak tidak lama lagi.

“MAPIM Sarawak menyokong saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk para pelajar kekal berada di kampus masing-masing sehingga krisis Covid-19 pulih.

“Justeru, kita memahami nasib para pelajar di luar negeri yang terkandas di tempat pengajian masing-masing dan tidak dapat pulang kepada keluarga mereka.

“Maka, sama ada dibenarkan pulang atau tidak, ia harus diputuskan dengan cermat dan teliti kerana risiko adalah tinggi dalam situasi yang mana kes jangkitan masih lagi tinggi pada ketika ini,”ujarnya menerusi kenyataan di Kuching hari ini.

Omar menegaskan, nasihat pakar perubatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) seharusnya diambil kira sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh kerajaan.

“Jelas, yang lebih penting pada masa ini adalah untuk semua rakyat kekal di tempat masing-masing dan tidak bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Di pihak kerajaan pula, momentum bantuan yang disalurkan kepada rakyat harus dikekalkan semasa PKP fasa tiga ini seperti yang dilaksanakan semasa PKP fasa satu dan dua.

Untuk itu tambah beliau lagi, MAPIM Sarawak menyeru seluruh masyarakat memberi sokongan kepada usaha kerajaan mengekang Covid-19 yang turut menjejaskan rakyat dari segi sosial dan ekonomi.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sarawak akan mengumumkan prosedur baru bagi menangani kes-kes pesakit dalam pemantauan (PUS) yang diasingkan di beberapa buah hotel di seluruh negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)berkata, jumlah bilik di hotel yang digunakan untuk kuarantin dan mengasingkan kes-kes PUS di negeri ini tidak mencukupi kerana dijangkakan ramai rakyat terdiri daripada pelajar akan kembali ke negeri ini dari luar negara atau dari negeri lain di negara ini semasa bulan Ramadan nanti.

Katanya, prosedur baru bagi mereka yang dikuarantin di hotel yang telah ditetapkan itu akan diumumkan dalam masa terdekat mengambil kira maklum balas daripada orang awam dan jumlah kekurangan hotel bagi menempatkan kes-kes PUS ini

“Satu cara untuk menangani perkara ini ialah untuk membenarkan individu PUS pulang ke rumah sejurus selepas keputusan ujian pertama menunjukkan negatif dan meneruskan kuarantin di rumah selama 14 hari,” tegasnya.