Mapim seru ASEAN bawa isu Kashmir ke peringkat antarabangsa

Mapim seru ASEAN bawa isu Kashmir ke peringkat antarabangsa

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru negara-negara anggota Asean supaya memberi perhatian dan menyuarakan isu Kashmir ke peringkat antarabangsa.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata isu yang berlaku di Kashmir bukan semata-mata berkenaan pertelingkahan antara dua negara tetapi turut melibatkan isu serantau selain isu kemanusiaan.

Beliau berkata rombongannya, yang terdiri daripada wakil lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Kemboja, bertemu dengan Presiden Pakistan Dr Arif Alvi serta Presiden Azad Jammu dan Kashmir Sardar Masood Khan pada Selasa lepas, antara yang dibincangkan ialah kepentingan keprihatinan dari negara-negara Asean mengenai isu yang membelenggu Kashmir.

“Dalam interaksi itu, kita merasakan mereka (Pakistan) sangat berharap Asean tidak berkecuali dalam isu ini untuk membela nasib Kashmir.

“Kerana Pakistan terpaksa membebani isu ini secara sendirian dan nampaknya ini tidak akan memberi kesan baik jika hanya Pakistan yang menyuarakannya dan mereka mengharapkan kita dapat membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata isu Kashmir ini tidak boleh dipandang ringan kerana Asean adalah rantau yang berjiran dengan Asia Selatan dan jika berlaku sesuatu yang besar seperti peperangan, ia akan melimpah ke Asia Tenggara.

Sehubungan itu, katanya, MAPIM telah merangka 16 tindakan susulan yang antaranya menubuhkan Jaringan Advokasi Asean Untuk Kashmir, bertemu setiap ahli parlimen di negara-negara Asean untuk menjelaskan isu Kashmir, menyediakan memorandum berkenaan Kashmir dan mengadakan pertemuan khas dengan Presiden Indonesia Joko Widodo.