Malaysia Dateline

Mapim sokong buka kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong sepenuhnya kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengesahkan akan membuka Kedutaan Malaysia untuk Palestin bertempat di Jordan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid memuji langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, sambil menyifatkan ia adalah keputusan bijak dan strategik.

“Kami tidak melihat membuka kedutaan itu hanya untuk membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah, akan tetapi ia juga berfungsi untuk memantau dengan lebih dekat perkembangan di Palestin.

“Kami menegaskan bahawa rakyat Palestin sudah sekian lama mengalami kezaliman oleh rejim Israel. Semua negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tahu mengenai hal tersebut.

“Keputusan Malaysia itu harus memberi isyarat penting kepada NAM bahawa hanya ‘beretorik’ untuk membantu rakyat Palestin tidak membawa sebarang makna.

“Kami kesal NAM tidak lagi menjadi kumpulan negara yang punya taring, kerana sejak kewujudannya tidak ada perubahan yang dapat dilakukan untuk membela nasib rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mohd Azmi turut menggesa kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri menurut sertakan masyarakat sivil (pertubuan bukan kerajaan) ) di negara ini dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Memang sudah pasti Israel tidak membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah tersebut, akan tetapi Malaysia tidak boleh ditentukan tindakan dan sikapnya oleh sebuah regim yang mahu meneruskan kezalimannya ke atas rakyat Palestin.

“Malah Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada regim Israel walaupun negara haram itu didokong oleh kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Azmi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi juga senada dengan Dr Mahathir yang menegaskan Malaysia menolak tindakan Israel yang mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

“Kami menyokong penuh pendirian Dr Mahathir berhubung dakwaan daripada Israel itu, namun negara anggota NAM tidak harus menjadi pak turut.

“Kami menegaskan, walaupun Israel mendapat sokongan negara barat terutama Amerika Syarikat yang mengiktiraf keputusan tersebut, negara anggota NAM tidak harus menjadi berdiam diri atau menjadi ‘pak turut’.