Mapim sokong had waktu operasi pusat hiburan sehingga 1.00 pagi

Mapim sokong had waktu operasi pusat hiburan sehingga 1.00 pagi

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong cadangan pihak Menteri Wilayah Persekutuan dan DBKL yang mahu menghadkan waktu operasi pusat hiburan dari 5.00 pagi kepada 1.00 pagi.

Presiden pertubuhan itu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, alasan Menteri WP mahu mendidik agar masyarakat lebih memberi masa kepada keluarga dan mengurangkan gejala sosial akibat terlalu biasa mengunjungi pub dan pusat hiburan hingga lewat malam, adalah wajar dan munasabah.

“Pihak pengusha pusat hiburan berjenama antarabangsa yang membantah keputusan itu atas alasan menjejas perniagaan kerana berkurangannya pengunjung dari pelancong luar, tidak harus dilayan.

“Kami menegaskan kita harus meletakkan kepentingan masyarakat tempatan lebih dari memuaskan selera orang luar.

“Apa guna kita mengutamakan orang luar yang mahu berhibur di negara ini tetapi mengenepikan budaya hidup masyarakat tempatan.

“Jika pelancong mahu bebas berhibur mengikut budaya negara mereka, Malaysia bukan tempatnya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Malaysia adalah negara yang kaya dengan budaya timur yang mengutamakan kesopanan dan kesusilaan.

Ujarnya, pengusaha hiburan yang mengatakan pihak kerajaan tidak perlu campur tangan dalam urusan keluarga dan soal peribadi adalah pandangan yang salah.

Loading...

“Kerajaan bertanggungjawab memelihara budaya tempatan dan melindungi budaya hidup rakyat agar tidak tercemar oleh budaya liar dari luar.

“KL adalah bandaraya yang sepatutnya diperkayakan dengan cara hidup budaya tempatan, bukan kebebasan liar dari luar.

“Mereka yang bangga dengan adanya “nite life” di bandar besar seperti KL tidak sesuai dengan acuan kehidupan negara ini yang punya nilai dan kesantunan budaya hidup di negara ini,” tambah beliau.

Sehubungan itu jelas Azmi, pihaknya menyokong dan menyarankan agar pihak DBKL membina karakter KL sebagai bandar yang berasaskan budaya tinggi dalam semua aspek pembangunan.

“Bukan kota hiburan yang hanya menarik pelancongan untuk berhibur,” katanya.