Malaysia Dateline

Mapim sokong Tubuh Majlis Tahfiz Negara

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( Mapim ) menyokong pengumuman Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh kelmarin di Dewan Rakyat mengenai cadangan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Tahfiz Negara tahun depan.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat cadangan yang membabitkan kuasa Majlis Agama Islam negeri untuk mewujudkan peraturan pendaftaran maahad tahfiz swasta adalah wajar dan sangat tepat pada masanya.

“Ta’rif sekolah tahfiz sebagai sekolah agama perlu jelas dan memudahkan bantuan disalurkan.

Berkembangnya sekolah tahfiz swasta yang begitu banyak menyebabkan pengawalan dan pemantauan diperlukan agar semua aspek pengurusan, pensijilan, prasarana, kelayakan guru dan kurikulum dapat diselia dengan rapi dan terselaras,”katanya dalam satu kenyataan.

Peranan dan sumbangan institusi tahfiz tidak dinafikan akan tetapi katanya, kualiti dan pengurusan yang berintegriti juga sangat diperlukan.

Tegasnya, minat ibubapa dan masyarakat untuk mendaftar anak ke insititusi tahfiz sangat positif, namun ibubapa juga berhak memastikan insitusi tahfiz mendapat pengiktirafan oleh pihak berkuasa agama.

“Aspek terpenting ialah kurikulum, prasarana yang selamat serta pengurusan yang memenuhi tahap piawaan yang sepatutnya.

“Kami prihatin terhadap tahap pencapaian pelajar tahfiz. Adalah wajar difikirkan juga pelajar yang tidak mampu meneruskan pembelajaran tahfiz. Mereka yang tercicir perlu diuruskan agar tidak terpinggir dari arus perdana.

Tambahnya, sementera tumpuan institusi tahfiz adalah untuk melahirkan pelajar yang menghafal seluruh Al Quran, namun pembinaan keupayaan dan kemahiran yang sesuai dengan minat mereka perlu diajar.

“Adalah tidak wajar pelajar tahfiz menjadi penganggur dan bergantung harap kepada sumbangan orang ramai.

“Kami mengharap Majlis Tahfiz Negara melihat fungsi dan matlamat menyeluruh pembinaan kualiti pelajar tahfiz dinegara ini.

“Kemuliaan dan penghormatan orang ramai terhadap pelajar tahfiz hendaklah juga dikaitkan bagaimana tahap keilmuan dan kemahiran mereka dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Pelbagai insiden yang membabitkan maahad tahfiz walaupun terpencil namun perlu diambil iktibar kerana maahad tahfiz membawa imej yang sangat mulia pada kacamata masyarakat,”katanya.