Malaysia Dateline

Mapim syor tubuh majlis khas tangani isu kenaikan kos haji

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia(Mapim) mengesyorkan supaya sebuah majlis khas ditubuhkan bagi menangani isu kenaikan kos haji yang dijangka akan melonjak naik pada musim haji kali ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, adalah dijangkakan kos haji akan mencanak naik sehingga mencecah RM40, 000 bagi setiap jemaah haji ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan prosedur yang semakin ketat dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Alternatif lain perlu dicari bagi memastikan kos haji tidak membebankan umat Islam. Sudah sampai masanya pihak kerajaan Arab Saudi bersikap terbuka dalam menguruskan jemaah haji dengan mengadakan perbincangan dengan negara-negara Islam yang lain.

” Langkah dan cara untuk memudah dan meringankan beban kos menunaikan haji perlu difikirkan oleh sebuah Majlis Khas yang disertai oleh beberapa buah negara Islam serantau.

“Mapim mengusulkan agar kerajaan Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Khas bertujuan untuk membincangkan semua aspek pengurusan haji dengan lebih terperinci termasuklah ketetapan kos dan segala syarat tambahan bagi memberi peluang kepada umat Islam menunaikan haji dengan lebih mudah,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu kata Mohd Azmi, umat Islam tidak wajar menjadi mangsa kepada eksploitasi dan manipulasi pelbagai pihak pengurusan haji dan ekonomi haji tidak. harus menjadi terlalu komersialistik sehingga hanya orang kaya sahaja yang mampu menunaikan haji.

Malah tegasnya, tidak. dapat dinafikan kini urusan haji telah menjadi sebuah industri meraih keuntungan lumayan oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan kosnya turut meningkat naik.

“Jemaah haji yang menunaikan haji baru-baru ini dilaporkan terpaksa membayar antara RM15 ribu hingga RM20 ribu bagi tempoh tujuh hari membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina serta tawaf dan Saie dan menjadikan jumlah kos sehari sekitar RM2600.

“Sepatutnya kaedah bagi mengurangkan kos haji dalam pelbagai aspek yang lain boleh ditetapkan agar kos menyeluruh tidak naik begitu mendadak sehingga membebankan jemaah haji.

” Oleh kerana itu, Mapim mencadangkan supaya Malaysia mengambil langkah segera dengan mencadangkan agar satu perbincangan diperingkat OIC diadakan bagi membincang serta mencari idea yang lebih praktikal agar kos haji tidak akan melonjak naik,” cambah beliau.