Malaysia Dateline

‘Maqasid’ bagi pekebun adalah harga baja, komoditi, tegas Ustaz Nasir

Ustaz Nasir Zakaria

Tampil mengaitkan dengan salah satu kerangka utama dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu konsep Maqasid Syariah, perwakilan AMANAH Kedah, Ustaz Nasir Zakaria menegur agar memahami realiti dihadapi rakyat marhaen khususnya di luar bandar.

Menurutnya, retorik semasa tidak relevan bagi rakyat terutama golongan petani dan pekebun kecil.

“Memang betul maqasid ini untuk jaga agama, nyawa, maruah, harga dan ‘nasab’. Falsafahnya betul tapi nyawa bagi pekebun di pedalaman adalah getah.

“Maqasid bagi orang yang tanam padi adalah benih, baja, dan harga. Itulah nyawa kami, takkan susah nak faham?” katanya disambut sorakan perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Beliau yang membahaskan Pidato Presiden itu turut mengingatkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) mulai Januari depan dengan bakal menyaksikan kenaikan harga petrol setiap minggu boleh mengundang tragedi kepada PH.

“Tragedi inilah yang menyebabkan jatuhnya pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Takkan kita nak ulang?” tegasnya sambil menyifatkan kenaikan harga bahan api itu akan amat menyakitkan rakyat.

Sehubungan itu, Ustaz Nasir berharap semua perwakilan menghantar isyarat yang jelas kepada kepimpinan negara untuk mengkaji semula cadangan PSP.

“Kalau tidak, bagaimana kita nak jawab dengan rakyat?” soal bekas Ahli Parlimen Pas Padang Terap itu.

 

Untuk rekod, selain Maqasid Syariah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut meletakkan dua lagi kerangka utama dalam pentadbiran kerajaan PH iaitu konsep Rahmatan Lil Alamin dan kaedah fiqh Malaysia.

Dalam perbahasan Ustaz Nasir yang dilihat menarik perhatian perwakilan, beliau turut mendesak supaya AMANAH dan PH mewujudkan suatu “program penerangan” seperti Biro Tata Negara (BTN) seperti pentadbiran kerajaan BN sebelum ini bagi melahirkan rasa cinta pada kerajaan.

“Mana program BTN ala kita? Kita boleh turun masuk ke Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan sebagainya.

“Kalau tidak ada program penerangan ini – program tersusun bagi melahirkan rakyat cintakan kerajaan – kita akan sepenggallah,” tempelak Ustaz Nasir lagi.