Malaysia Dateline

Maqis Perak rampas 85kg daging babi, buaya dan buah-buahan

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas daging babi, daging buaya dan buah-buahan dengan berat keseluruhan 85 kilogram (kg) yang dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), sepanjang bulan ini.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya telah merampas 50kg produk berasaskan daging babi seperti daging segar, daging perap dan sosej; lima kg daging buaya serta 30kg produk buah-buahan dianggarkan bernilai RM2,000 yang cuba dibawa masuk oleh penumpang-penumpang walaupun larangan telah dikeluarkan oleh Maqis

Beliau berkata rampasan itu dibuat berikutan larangan membawa masuk produk daging babi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan penyakit African Swine Fever (ASF) di beberapa negara seperti China, Hong Kong, Laos, Myanmar, Kemboja, Poland, Belgium dan Vietnam.

“Kes mengimport produk haiwan tanpa permit import yang sah dan melanggar syarat-syarat import telah melanggar syarat-syarat import merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Zamri, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam mengimport atau membawa masuk produk pertanian tanpa permit import yang sah. — BERNAMA