Maqis tahan cili import beracun

Maqis tahan cili import beracun

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena berisi cili segar yang diimport dari negara China dan dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen import permit (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, jumlah rampasan cili segar adalah sebanyak 11,536 kg dengan anggaran nilai RM62,269.00.

“Konsainan cili segar tersebut telah diambil sampel bagi saringan maximum residue level (MRL) dan keputusan Makmal mendapati bacaan MRL bagi cili tersebut adalah melebihi daripada kadar yang dibenarkan.

“Pihak Maqis telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya dan diberikan peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Konsainan cili segar tesebut akan ditahan dan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], iaitu tidak mempunyai permit yang sah.

Katanya lagi, pengimport boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya.

“Pihak Maqis sentiasa memastikan keluaran pertanian yang diimport ke dalam Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” katanya.