Marah dengan laporan skandal 1MDB, Salleh cabar WSJ letak calon pilihan raya

Marah dengan laporan skandal 1MDB, Salleh cabar WSJ letak calon pilihan raya

Marah dengan laporan berterusan Wall Street Journal (WSJ) terhadap skandal 1MDB, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencabar akhbar Amerika itu meletakkan calon dalam pilihan raya umum akan datang di negara ini.

“Mereka bertindak seperti ahli politik, tukang kempen dan bukan sebagai media bebas atau kredibel,” katanya.

Oleh itu, katanya, memandangkan minat WSJ dan kecenderungannya yang mendalam terhadap hal ehwal politik negara ini, WSJ patut mengemukakan calon untuk bertanding di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang, lapor M-Star hari ini.

Bagi beliau, rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan laporan media itu kerana tindakannya secara berterusan menyerang urusan politik Malaysia, jelas tidak berlandaskan prinsip kewartawanan.

Beliau berkata sebaliknya, WSJ telah menunjukkan sikap angkuh dan visi terpesongnya mengenai Malaysia dan jika rakyat Malaysia menerimanya bulat-bulat, ia akan menghakis keharmonian, kestabilan dan kemakmuran negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau berkata laporan WSJ kini tidak pun mempunyai maklumat baharu dan mereka hanya mengulangi berita lama dan mengumpulkan semula tuduhan-tuduhan tanpa bukti yang telah mereka laporkan sebelum ini.

“Mereka tidak berbuat apa-apa pun untuk mewajarkan tuduhan yang mencemarkan itu selain memetik sumber yang tidak dinamakan dan dokumen yang secara misterinya didakwa hanya WSJ yang telah bercakap dan melihatnya.

“Sumber dan dokumen ini mungkin tidak wujud, atau mungkin daripada musuh-musuh serta tidak lengkap ataupun salah,” katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Terbaru, WSJ melaporkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan sehingga US$6 juta membeli pakaian, kasut dan barang kemas.

Ekoran itu, ahli parlimen DAP dari Segambut, Lim Lip Eng menyifatkan ia satu yang menakjubkan.

“Jika suaminya Datuk Seri Najib Razak tidak membelanjakan satu sen pun daripda pendapatan tahunan beliau sebanyak RM284,194.89 sebagai Perdana Menteri, gaji tersebut hanya boleh bertahan selama satu bulan dua hari sahaja, jika mengikutkan perangai berbelanja isterinya,” katanya mengulas perbelanjaan sakan isteri Perdana Menteri itu yang didakwa berlangsung antara tahun 2008 sehingga 2015.

“Kalau ada gunung emas pun boleh rata,” ujar Lip Eng, lapor Roketkini, media berbahasa Malaysia milik DAP.

TAGS