Seorang lelaki panas baran sanggup memukul anak sendiri dengan tali pinggang hanya kerana bermain telefon hingga lewat malam.
Tidak cukup dengan itu, suspek juga mengugut ingin membunuh mangsa dengan parang pemotong daging di kediaman mereka di Lembah Subang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 tengah hari kelmarin daripada mangsa berusia 16 tahun.
Tambahnya juga, siasatan polis mendapati suspek yang berusia 56 tahun itu mengugut anaknya dengan parang pemotong daging dan memukulnya dengan tali pinggang.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 10.30 malam, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dan merampas parang berukuran 33 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.