Marahkan Naib Canselor di Kongres Maruah Melayu, graduan UM bertempik cemari konvokesyen

Marahkan Naib Canselor di Kongres Maruah Melayu, graduan UM bertempik cemari konvokesyen

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-59 di Dewan Tunku Canselor tahun ini telah dicemari aksi biadab daripada salah seorang graduannya.

Tular di media sosial rakaman video aksi graduan universiti tertua itu, Wong Yan Ke hari ini bertempik sambil mengangkat plakad protes semasa istiadat Sidang Kelima tersebut.

Aksi graduan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Kejuruteraan yang mengejutkan itu bagaimanapun menerima banyak kecaman orang ramai.

“Ini tanah Malaysia!” pekik Wong ketika nama penerima ijazah yang seterusnya sedang dibacakan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Wong secara panjang lebar menerangkan sebab dia berbuat demikian.

Dia membantah sekeras-kerasnya ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam baru-baru ini yang dianggapnya “berbau perkauman dan bersifat rasis”.

Wong berkata, naratif teori kontrak sosial dalam falsafah politik di Malaysia telah diputar-belitkan oleh politikus negara selama ini.

“Kontrak sosial bukannya seperti kontrak perdagangan yang menjual-beli kepentingan kaum-kaum, misalnya kedudukan dan hak istimewa bumiputera diiktiraf dengan syarat kewarganegaraan diberikan kepada yang bukan bumiputera,” ujarnya.

Wong menuntut Dr Abdul Rahim meletak jawatan.

Wong merupakan salah seorang daripada 2,965 penerima ijazah sarjana muda pada konvokesyen UM kali ini yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober.

Turut menerima ijazah masing-masing ialah ijazah kedoktoran (477), ijazah sarjana (2,026), diploma (803) dan diploma lanjutan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (291).

Mengikut buku konvokesyen, nama Wong tertera di muka surat 223 sebagai penerima ke-63 bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam) Lulus Dengan Kepujian.

Dalam masa sama, dia turut berkongsikan klip video protesnya di Facebook selain gambar mengangkat plakad yang tertera lima sebab mengapa Dr Abdul Rahim mesti meletak jawatan.

Walaupun ramai yang mengecam tindakannya, tetapi rata-rata anak muda Cina dilihat menyokong tindakan Wong seperti “Really proud to u bro” dan “Salute!!” dengan komentar tersebut masing-masing mendapat banyak tanda ‘suka’ dan ‘sangat suka’ daripada majoriti orang Cina.

Pada Mac lalu, Wong antara beberapa pelajar UM yang bergelut dengan penyokong Najib Razak ketika program santai bekas Perdana Menteri itu di Restoran Amjal.

Mereka berkumpul di seberang jalan berdekatan restoran itu sambil memegang plakad berupa gambar badut yang menyerupai Najib serta slogan “tangkap Najib”, “mana RM2.6 bilion” dan “pulangkan duit raykat (rakyat)”.

Minggu lalu, Naib Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa UM, Yap Wen Qing dalam kenyataan medianya turut mendesak Dr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan.

Menurut Yap, Abdul Rahim dalam ucapan pada Kongres Maruah Melayu itu berkata, dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal selain turut memberi peringatan supaya kontrak sosial tidak dicabar.

Sejak dua hari lalu, Wong dilihat sudah menghasut graduan UM.

 

Wong mengangkat karikatur wajah badut Najib sebelum berlaku pergelutan dengan kumpulan penyokong Umno diketuai Datuk Lokman Noor Adam, Mac lalu.