Marak protes kepada Najib, Umno terus bergolak menjelang perhimpunan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pergolakan kepimpinan Umno ekoran penolakan sebahagian pihak terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada peringkat akar umbi semakin menonjol menjelang perhimpunan agung Umno bulan depan.

Ia terserlah apabila 34 cawangan Umno mendesak secara terbuka agar Najib meletakkan jawatan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di bangunan Parlimen petang semalam menggambarkan parti yang pernah diharamkan pada 4 Februari 1988 itu kini seperti di ambang retak menanti belah dan tidak dapat dibendung lagi.

Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno tidak hadir dalam mesyuarat semalam (24 November) yang diawalkan daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, 27 November.

Namun, sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan memberitahu Muhyiddin pada masa ini berada di luar negara.

Muhyiddin, 68, yang dikenali lantang mengkritik isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion kepada Najib secara rasmi telah tersingkir daripada rombakan barisan Kabinet pada 28 Julai lalu dengan tempatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri diganti oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, ketidakhadiran Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga digugurkan dalam rombakan kabinet Najib itu menonjolkan lagi krisis dalaman parti itu walaupun Shafie dikatakan sedang menjalani ibadah umrah.

Pada masa sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz sebagai MT Umno yang dilantik turut tidak hadir sekaligus dilihat sesetengah pihak sebagai protes senyap anak Tun Mahathir itu yang selari dengan sikap ayahnya.

Perhimpunan Agung Umno pada 8 hingga 12 Disember nanti juga menyaksikan kelainan apabila timbalan presiden Umno tidak lagi merasmikan mesyuarat perwakilan bagi ketiga-tiga sayap parti itu.

Pengumuman Najib bahawa Pemuda dan Puteri akan merasmikan perhimpunan segmen itu masing-masing atas alasan mengikut hasrat sayap terbabit tanda jelas konflik Najib dan Muhyiddin tidak dapat disembunyikan lagi.

Perkembangan ini sekaligus dilihat menarik perhatian banyak pihak meskipun tanpa pemilihan parti yang ditangguhkan 18 bulan selepas dijadual akan diadakan tahun depan.

Najib mana mahu menyorok?

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman diumum telah dipecat daripada jawatan dan keahlian parti.

Najib dalam pengumumannya semalam juga memberitahu keputusan sebulat suara oleh MT Umno itu diambil ekoran pelanggaran disiplin selepas Hamidah secara terbuka menyuarakan penentangan terhadap kepimpinan Najib.

Terdahulu, Hamidah yang pernah menduduki jawatan Ketua Penerangan Wanita Umno dan Exco Kerajaan Negeri Perak dilaporkan berkata, pendiriannya supaya Najib meletak jawatan didorong oleh prinsip setia kepada parti bukan setia kepada pemimpin.

“Takkan lebih tiga juta orang (ahli Umno) nak kena berkorban demi seorang pemimpin? Sepatutnya, seorang pemimpin yang kena berkorban untuk tiga juta orang,” bidasnya seperti dilaporkan media.

Sementara itu, tidak kurang 34 cawangan Umno di seluruh negara mendesak Najib berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno ekoran pelbagai skandal membabitkan suami Rosmah Mansor itu.

Bahkan, cawangan-cawangan terbabit dikatakan akan mengadakan himpunan besar-besaran Disember ini bagi menuntut Najib meletak jawatan sekaligus mencerminkan protes terbuka ahli Umno yang tidak mampu disorok oleh Najib lagi.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa parti itu tiada masalah dengan tindakan pemimpin akar umbi di peringkat cawangan tersebut.

Ujarnya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu, Umno mempunyai kira-kira 25,000 cawangan di seluruh negara dan tidak bimbang dengan tindakan tersebut kerana mendakwa Najib masih mendapat sokongan penuh daripada ahli-ahli Umno.

Najib pada masa sama diketahui umum turut menerima banyak serangan berhubung keputusan dan dasar kerajaan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk isu kontroversi 1MDB, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Bahkan, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang kini Ahli Parlimen Gua Musang ketika mengulas kritikan Muhyiddin terhadap Najib berkata, Muhyiddin bebas untuk berkata apa sahaja dalam keadaan masyarakat kini yang bersifat terbuka dan terpulang kepada penilaian orang ramai sama ada betul atau sebaliknya.

TAGS