Malaysia Dateline

MARC beri penarafan AAA ke atas Sime Darby Plantation

Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) telah memberi penarafan kredit korporat AAA ke atas Sime Darby Plantation Bhd (SDP) manakala Program Sukuk Subordinat Kekal sehingga RM3.0 bilion pada AA dengan prospek penarafan yang stabil.

Penarafan kredit korporat itu berdasarkan keupayaan penjanaan aliran tunai SDP yang kukuh daripada operasi minyak sawit bersepadu yang pelbagai dari segi geografi serta skalanya.

“Namun, faktor penyederhanaan utama adalah pengaruh pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) terhadap prestasi kumpulan yang sejak beberapa tahun lepas memberi tekanan ke atas aspek metrik kewangannya.

“Penarafan itu mendapat lonjakan daripada kewujudan Permodalan Nasional Bhd – syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang telah lama menyalurkan sokongan terhadap syarikat perladangan itu,” kata MARC dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SDP adalah antara kumpulan perladangan minyak sawit terbesar global dengan operasi huluan utama di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon serta operasi hiliran di peringkat domestik selain termasuk di Netherlands, United Kingdom, Afrika Selatan, Indonesia dan Thailand.

Rancangan untuk keluar dari Liberia yang mana SDP memiliki kawasan seluas 10,263 hektar (ha) atau 1.7 peratus daripada sejumlah 603,146 hektar kawasan penanaman, juga dilihat tidak memberi kesan ketara ke atas operasi kumpulan itu.

Malah, berdasarkan kekangan dihadapi kumpulan itu di Liberia sejak memulakan operasi di sana, langkah melepaskan operasi merugikan di Liberia itu dianggap mampu memperkukuh tumpuannya terhadap ladang-ladang utama miliknya di Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, agensi penarafan itu juga menyifatkan prestasi operasi huluan SDP yang kukuh serta prestasi kewangan hilirannya, akan menyumbang dari segi menampan cabaran membabitkan harga MSM.

Dalam pada itu, walaupun dasar pembayaran dividen kumpulan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersih, SDP masih dijangka mengekalkan pendekatan pembayaran dividen berdisiplin bagi memenuhi keperluan perbelanjaan modal kumpulan tanpa melakukan sebarang pinjaman.

Faktor-faktor kestabilan prospek itu turut mengambil kira jangkaan pengurangan hutang menerusi langkah penjualan aset.

Bagaimanapun, kata MARC, penarafan kumpulan itu akan terjejas jika aspek pengurangan hutang itu tidak mencatat sebarang kemajuan ketara atau persekitaran harga MSM yang rendah sehingga menjejaskan metrik aliran tunai.– BERNAMA