Malaysia Dateline

Marhaen bangkit herdik golongan kayangan

Mutakhir ini, situasi penyebaran virus Covid-19 dalam negara semakin merunsingkan dan menjadi makin parah dek kerana sikap tidak bertanggungjawab sebahagian pemimpin yang diharapkan menjadi tauladan dan harapan kepada rakyat jelata.

Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati serta kecewa dengan sikap mereka yang berjawatan yang digelar sebagai “golongan kayangan” yang tidak mengikut prosedur atau SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan sendiri sehingga menyebabkan bilangan kes harian Covid-19 meningkat dan mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah negara.

Bagai ketam mengajar anaknya berjalan betul, begitulah yang boleh diumpamakan keadaan kebanyakan pemimpin negara kita pada hari ini.

Bertambah parah dan mengecewakan, adanya tindakan segelintir pemimpin yang memutuskan polisi yang tidak masuk akal dan kurang matang sehingga menyusahkan rakyat terutamanya para pelajar dan golongan marhaen yang terkesan.

PENAFIAN YANG TIDAK MUNASABAH

Malang sekali apabila keadaan genting ini masih cuba dinafikan oleh pihak pemerintah sehinggakan mereka bagaikan membutakan mata dan memekakkan telinga dengan kesan yang bakal menanti rakyat dan negara akibat penyebaran virus yang tidak terkawal hari ini.

Bukan sahaja cuba menafikan salah sendiri, bahkan mereka seolah-olah cuba memutar belitkan fakta dan menuding jari mencari salah orang lain tanpa memikirkan kesannya akan ditanggung oleh rakyat jua akhirnya. Dek kerana ingin menjaga air muka golongan sendiri, pemerintah masih berkira-kira untuk mengambil tindakan yang wajar dan terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Meskipun begitu, jelas sekali, rakyat sudah mula muak dan kecewa dengan permainan politik para pemerintah hari ini. Herdikan demi herdikan mula tersebar di media sosial sehinggakan #tag yang meminta menteri meletakkan jawatan menjadi antara yang popular dalam masa yang singkat.

KEBAJIKAN, KESIHATAN DAN KESELAMATAN 

Dalam situasi sekarang, pemerintah seharusnya mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat dalam setiap polisi, keputusan dan tindakan yang diambil. Dasar penyaluran kebajikan, penyediaan kemudahan kesihatan dan pengawalan keselamatan yang berkesan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira geografi, kaum dan latar belakang harus diberi penekanan dan lebih perhatian.

Pemerintah seharusnya mempunyai sifat kompetan dan bijak dalam memutuskan sesuatu polisi tanpa mengabaikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat. Kerajaan perlu mengambil kira segenap aspek dan mencari model solusi terbaik secara holistik dan tidak hanya bergantung kepada sumber yang terhad sahaja.

Dalam perkembangan terkini Covid-19, kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin akan diperhatikan oleh masyarakat umum. Pemimpin kerajaan diharapkan bersikap dan bertindak secara rasional dengan mengamalkan integriti yang tinggi dan harus bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang dibuat dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam.

Menurut Ahmad Atory Hussain (1992), sesuatu dasar atau polisi itu dikatakan rasional apabila ia sangat cekap iaitu nisbah antara nilaian yang dicapai dan nilaian-nilaian yang ia korbankan itu positif dan lebih tinggi daripada mana-mana alternatif polisi.

Menurut beliau lagi, pembuat dasar perlu mengambil kira beberapa perkara untuk membuat dasar yang rasional.

Antaranya adalah;

i. Mengetahui semua nilaian dan pemilihan masyarakat serta pertimbangan yang relatif,
ii. Mengenalpasti semua alternatif dasar yang tersedia,
iii. Tahu dan maklum akan kesan bagi setiap dasar alternatif tersebut,
iv. Dan akhirnya, pemimpin harus bijak memilih dasar yang paling cekap dan menyeluruh yang boleh diketahui dan dipertimbangkan.

MASA UNTUK  TINGKATKAN HERDIKAN SOSIAL

Sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam program Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia yang diadakan pada 30 September lalu, bahawa herdikan sosial itu sangat perlu untuk memberikan signal kepada pemerintah bahawa masyarakat langsung tidak akan berkompromi dengan segala bentuk salah laku dan sikap tidak berintegriti para pemimpin.

Herdikan sosial yang kuat dan tegas harus datang dari segenap lapisan masyarakat kerana herdikan ini bukan sahaja mampu mengubah landskap pemerintahan negara ke arah pemerintahan yang lebih berintegriti dan kompeten, malahan mampu membuatkan para pemimpin yang dipilih merasa gerun dan takut untuk melakukan kesilapan dan salah laku kerana mereka akur akan kuasa yang ada pada rakyat. Tiada lagi istilah pemimpin kebal dari undang-undang ataupun layanan double-standard antara pemimpin dan rakyat.

Daripada Tamim ad-Dari R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“ ‘Agama itu adalah nasihat.’ Kami (para sahabat) bertanya, ‘Kepada siapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kepada Allah (dengan mentaatiNya), kitab Allah (dengan menuruti kandungannya), RasulNya (dengan mengikuti suruhannya), para pemimpin orang-orang Islam (dengan menegur dan menasihatinya), dan orang awam dalam kalangan mereka (dengan amar makruf, nahi mungkar)’.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Daripada hadis ini jelas menerangkan bahawa pemimpin itu juga harus ditegur dan dinasihati apabila mereka melakukan kesilapan. Malahan, pemimpin yang baik itu adalah pemimpin yang boleh berlapang dada menerima teguran dan tidak berasa hina serta mengakui kesilapan tanpa mengira statusnya sebagai seoarang pemimpin.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk saling menegur dan menasihati pemimpin apatah lagi apabila melibatkan kemaslahatan dan kepentingan rakyat dan negara.

Teruskan suara-suara kita, #HerdikanSosial dengan menyatakan bahawa yang salah itu adalah salah dan yang benar itu adalah benar tanpa mengira siapa pun yang melakukan kesalahan serta apa jua pegangan ideologi dan politiknya.

Lebih penting bagi kita sebagai rakyat, haruslah bijak memilih para pemimpin yang mempunyai ciri-ciri integriti dan kompeten demi masa depan negara dan generasi akan datang. Pemimpin yang kompeten tetapi tiada integriti, amatlah berbahaya dan boleh memusnahkan sesebuah negara.

Semoga negara kita terus dilindungi dan terpelihara daripada penyebaran wabak dan virus Covid-19. Ayuh kita teruskan menjadi masyarakat prihatin dan penyayang yang saling membantu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, kaum, etnik mahupun ideologi demi membawa Malaysia menjadi sebuah negara rahmah, harmoni dan sejahtera untuk semua.

——————————-
Penulis adalah petugas Jabatan Kajian dan Advokasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia.