Mari jadi pentaksub Allah dan Rasul, bukan Hadi

Oleh KIM SYAZIE

Membuat kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah atau haji adalah dakwaan yang mengelirukan.

Ia susulan ucapan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya diambil dari ibrah peristiwa Rasulullah SAW yanf dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan mengingatkan Abdul Hadi bahawa bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu.

Atas pertimbangan tersebut, Rasulullah SAW memberikan mesej yang jelas kepada para pengintip Quraisy Mekah, bahawa tujuan Baginda ke Mekah bukan hendak berperang tetapi menunaikan ibadah umrah/ ziarah Baitullah.

Apabila terdapat halangan untuk meneruskan tujuan asalnya, maka Baginda tiada pilihan selain memeterai perjanjian.

“Sebab itu Baginda berihram di Bir Ali. Orang yang berihram dilarang berperang. Apatah lagi dalam bulan haram.

“Itulah ketulusan niat dan tujuan nabi keluar dari Madinah, jelas dan ikhlas. Tanpa sebarang perkiraan politik.

“Jika diteruskan niat asal maka pertempuran akan berlaku, maka Baginda akan dituduh menggunakan agama (berihram) untuk berperang,” jelasnya.

Kata Amidi, jelas amat jauh perbezaan perjuangan antara Abdul Hadi dengan perjuangan Nabi Muhammad yang tidak mengizinkan sebarang ruang untuk perjuangan murni Islam difitnah dan diburukkan.

“Maka marilah kita menjadi pentaksub Allah dan pentaksub Rasulullah, jangan kita menjadi pentaksub Haji Hadi,” ujarnya.

Baca juga: ‘Influencer’ jatuh sakit lepas bergurau tak jumpa arah kiblat di Makkah