Malaysia Dateline

Kadir A Jasin menyifatkan Husam dan Matthias adalah patriot dan wira negara,

Mari kita berseloka

Kalau tidak ada-ada
Masakan tempua bersarang rendah
Kalau tidak ada-ada
Masakan Malaysia riuh-rendah.

Kalau tidak ada-ada
Masakan tempua bersarang rendah
Kalau tidak ada-ada
Masakan Najib dan Zahid berpindah-randah.

Bersarang rendah di ranting keranji
Rendah sampai tersentuh banir
Apa agaknya disogok dijanji
Sampai mereka lari hulu dan hilir.

Pohon keranji di tepi pasar
Buahnya ranum dibawa ke pekan
Janji dan ikrar tentunya besar
Sampai Raja mereka maklumkan.

Pohon keranji batangnya condong
Buahnya masak boleh disaji
Mula-mula Muhyiddin mereka sokong
Kemudian kepada Anwar mereka berjanji.

Batang keranji licin berminyak
Kayunya keras dibuat perahu
Khabar berita memanglah banyak
Betul atau tidak susah nak tahu.

Burung tempua di dahan penanti
Murai terbang ke sana sini
Kononnya Peguam Negara boleh diganti
Tapi Hakim Negara tak siapa berani.

Padi banyak tak habis dimakan
Dalam jelapang tempat disimpan
Kes mahkamah mesti diteruskan
Tapi kalau salah boleh diampunkan.

Nasi pulut sedap dimakan
Makan dengan jeruk tenggiri
Kemudian janji pangkat kedudukan
Busuk-busuk pun Timbalan Perdana Menteri.

Itulah kiasan peribahasa
Pantun gurindam pusaka ibunda
Itulah cerita si mabuk kuasa
Habis adab dirempuh dilanda.

Maaf Tuan saya berseloka
Menghibur hati mengubat duka
Mohon Tuan fikir hal rakyat jelata
Jangan fikir ego Tuan semata-mata.

Wallahuaklam.Terima kasih.