Mari kita muafakat tawan Malaysia

Mari kita muafakat tawan Malaysia

Hari Malaysia merupakan satu detik bersejarah yang perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia di mana menyaksikan penyatuan antara Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk sebuah negara Persekutuan yang berdaulat.

Penubuhan Malaysia merupakan cetusan ilham Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ingin melihat terdirinya sebuah negara berdaulat yang mengangkat prinsip demokrasi yang luhur dan masyarakatnya berkembang secara progresif.

Dalam usia Malaysia yang menjangkau 54 tahun, perjalanan proses pembangunan negara sejak kebelakangan ini terbantut akibat daripada kelemahan kepimpinan tertinggi negara yang mengamalkan kleptokrasi.

Dasar ekonomi yang tempang melalui dasar percukaian yang zalim iaitu GST terbukti menghukum rakyat bawahan kerana terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Lebih parah lagi, pendapatan rakyat yang semakin kecil nilainya, masalah pengangguran dan masalah jenayah yang tinggi adalah kesan rantaian dasar ekonomi tempang di bawah UMNO-BN.

Secara paradoks, tawaran Najib Razak untuk membantu memperkukuh ekonomi kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, seolah-olah ekonomi negara ini tidak mempunyai masalah.

Kenyataan Najib Razak tempoh hari di Washington adalah satu keputusan yang tidak boleh diterima sama sekali tatkala rakyat di sini masih berhadapan dengan masalah ekonomi yang membelenggu kehidupan seharian.

Dasar ekonomi manusiawi dan peduli rakyat akan menjadi dasar teras menggantikan dasar ekonomi tempang UMNO-BN melalui percukaian progresif dan pengagihan sumber kekayaan negara yang lebih adil.

Kewujudan golongan pelampau agama menjadi ancaman kepada konsep kebebasan agama yang sepatutnya dihormati.

Di Melaka, tempoh hari terdapat aduan sempena perayaan hantu sekarang ada tokong dan kuil yang telah di saman oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya terutamanya di kawasan Taman Merdeka. Perkara ini amat memalukan. Amalan agama perlu dihormati dan menuntut kepada kebijaksanaan pemerintah untuk mempertahankannya.

Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia terutamanya di negeri Melaka untuk mengambil semangat Hari Malaysia dengan bersama-sama bermuafakat menawan Melaka.

Negeri Melaka kini dipalit dengan imej rasuah disebabkan tindakan beberapa pimpinan UMNO-BN Melaka menjadikan rasuah sebagai amalan.

Keperluan untuk meniup angin perubahan di Negeri Melaka adalah amat mendesak untuk menghukum pemimpin-pemimpin UMNO-BN Melaka yang menjajah khazanah kekayaan negeri.

Pakatan Harapan Melaka memberikan komitmen yang tinggi terhadap usaha membanteras rasuah di negeri Melaka.

Dasar peduli rakyat akan diangkat sebagai penyelesaian masalah yang berlaku di negeri Melaka demi memastikan khazanah rakyat Melaka dimanfaatkan sebaiknya demi pembangunan negeri Melaka.

Oleh itu, ayuh sama-sama kita melakukan perubahan demi tanah air tercinta demi masa depan anak cucu kita.

Merdeka Jiwa, Selamatkan Malaysia

Selamat Hari Malaysia!

* Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Katil,
NAIB Presiden PARTI KEADILAN RAKYAT,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka.