Malaysia Dateline

Mari laksanakan impian Malaysia jadi negara berkelas dunia

Seruan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, ataupun kawasan, untuk bersatu padu melawan politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan, yang menjadi musuh terbesar untuk menjadikan negara kita sebuah negara hebat yang berkelas dunia

Saya baru sahaja melihat satu mesej Whatsapp yang telah menunjukkan teras masalah mengapa rakyat Malaysia sangat terpolarisasi dan berpecah-belah dan mengapa Malaysia semakin ketinggalan dalam visi untuk menjadi sebuah negara hebat berkelas dunia.

Mesej ini juga mengingatkan kita mengapa kita perlu bersatu-padu untuk melawan politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan yang menjadi musuh terbesar dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang berkelas dunia.

Mesej tersebut berbunyi seperti berikut:

“Nga Kor Ming menang saman fitnah.

“Ngeh Koo Ham menang saman fitnah.

“Teresa Kok menang saman fitnah.

“Lim Guan Eng menang saman fitnah.

“Tony Pua menang saman fitnah.

“Liew Chin Tong menang saman fitnah.

“Yeoh Bee Yin menang saman fitnah.

”Semua ini Cina non-Muslim DAP yg difitnah org Melayu.

“Tak malu ka tengok berita Jamal terpaksa mohon maaf secara terbuka kerana fitnah orang DAP. Dimana maruah ahli politik Melayu

“Dan diketahui umum –

“Najib, Rosmah didakwa kes rasuah

“Zahid didakwa kes rasuah

“Ku Nan didakwa kes rasuah

“Isa Samad didakwa kes rasuah

“Musa Aman didakwa kes rasuah

“Semua ini pemimpin politik Melayu Muslim

“Ramai ahli politik Melayu fitnah ahli politik Cina hanya kerana tujuan politik. Akhirnya ramai umat Melayu di kampung-kampung tertipu kerana kekurangan ilmu.

“Berdoalah semoga mentaliti bangsa Melayu ini berubah. Baik dari pemimpin hingga ke rakyat bawahan…utk berubah ia memerlukan reform mentaliti. Reform bermula dari pendidikan awal, agama dan akhlak dan didikan jati diri, mentaliti untuk yang sudah dewasa ini.

“Kita orang Muslim Melayu majoriti mesti berubah daripada yang kurang integriti kepada amanah kerana sayangkan agama, bangsa Melayu dan negara tercinta ini.”

Pada tahun 2014, saya telah menang saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd di atas satu artikel memfitnah yang diterbitkan tahun sebelumnya.

Malaysia perlu bergerak ke hadapan meninggalkan politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan, yang bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama-agama utama dan kebudayaan di seluruh dunia yang telah menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka, tetapi perkara ini juga menjadi sebab mengapa kita gagal untuk merealisasikan visi bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman supaya Malaysia menjadi “obor cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara telah menetapkan asas untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan hebat, dan cabaran yang dihadapi kita sekarang adalah sama ada kita mampu untuk berjaya dalam usaha pembinaan negara bangsa ini, dengan menyatu-padukan pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya yang bertemu di Malaysia untuk menjadi satu model masyarakat majmuk yang bersatu, bertoleransi, berjaya, progresif, dan makmur dalam dunia yang kompleks.

Kebelakangan ini, terdapat kecenderungan di Malaysia di mana politik dicemari dengan politik toksik dan keji yang berasaskan kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan, di mana daripada membina toleransi, kepercayaan, dan keyakinan dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya di Malaysia, terdapat pula cubaan untuk menanamkan sifat syak wasangka dan kebencian untuk meracuni usaha pembinaan negara bangsa di negara kita.

Saya sendiri telah menjadi salah seorang watak yang paling teruk difitnah dalam setengah abad yang lepas.

Saya telah dituduh sebagai seorang komunis, dan juga kononnya saudara kepada Chin Peng; dituduh bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969, kononnya memimpin demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur dan melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam, sedangkan saya tidak ada di Kuala Lumpur pun selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969.

Saya juga digambarkan sebagai syaitan, puaka, dan jembalang; kononnya saya anti-Melayu, anti-Islam, dan juga pada pelbagai waktu kononnya, anti-India, anti-Cina berpendidikan Cina, anti-Cina perpendidikan Inggeris; dan juga kononnya ajen KGB, CIA, MI6, dan Badan Perisikan Australia.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, politik toksik seperti ini menuduh kononnya saya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya.

Apabila penipuan dan fitnah sebegini terbukti salah selepas 9 Mei 2018, penipuan dan fitnah baharu pula dicipta, mengatakan kononnya sayalah kuasa sebenar di sebalik Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya dan kononnya pemimpin Pakatan Harapan yang lain hanyalah boneka saya.

Saya juga telah dituduh kononnya “berenang” daripada China ke Malaysia semasa berumur 17 tahun, sedangkan saya dilahirkan dan bersekolah di Batu Pahat.

Walaupun keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018 menjadi satu kekalahan dan sekatan terhadap politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan ini, penyedia politik toksik dan jijik ini bekerja dengan lebih keras malah meningkatkan kempen mereka selepas 2018.

Cabaran terbesar kita dalam Malaysia Baharu adalah bagaimana untuk mendekati golongan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban yang masing-masing hanya hidup dalam busa kehidupan masing-masing sahaja, dan untuk berkongsi dengan mereka satu gambaran dan perspektif Malaysia yang lebih luas — untuk berkongsi cita-cita yang negara Malaysia yang tercinta ini milik kita semua dan kita mempunyai satu takdir yang dikongsi bersama.

Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti — etnik, keagamaan, bahasa, budaya — tetapi kita semua berkongsi satu identiti utama sebagai rakyat Malaysia.

Tidak ada sesiapa pun yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk melupakan identiti etnik atau keagamaan masing-masing, baik seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, tetapi semua orang perlulah pertamanya rakyat Malaysia.

Inilah Impian Malaysia kita.

Bolehkah semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia yang merentasi kaum, agama, kawasan, parti politik, ini kekal supaya kita tidak terganggu daripada cita-cita Impian Malaysia untuk membina sebuah negara yang hebat untuk semua rakyat Malaysia?

Bagaimanakah boleh untuk kita menyemai semangat ini dalam kalangan semua rakyat Malaysia dan hentikan peningkatan semangat tidak bertoleransi, kebencian, dan semangat ekstremisme melalui penipuan, berita palsu, dan maklumat palsu dalam masyarakat majmuk di negara kita?

Adakah kita berani untuk terus mengimpikan Impian Malaysia ini, dan melakukan lebih banyak lagi — menolak dan mendedahkan pengamal politik toksik kebencian dan penipuan yang menjadi musuh terbesar usaha merealisasikan Impian Malaysia ini, yang cuba untuk menyemai perasaan syak wasangka dan kebencian dalam masyarakat di negara ini, yang tidak berusaha untuk membina toleransi, kepercayaan, dan keyakinan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia untuk membolehkan kita menjadi sebuah negara hebat yang berkelas dunia yang mengembelengkan kepelbagaian kita sebagai satu aset yang bernilai.

Inilah penetapan semula dalam arah dan dasar pembinaan negara yang diperlukan Malaysia dalam tahun dan dekad-dekad yang akan datang.