Malaysia Dateline

“Mari mara ke depan, saya tidak akan korek sejarah lampau”

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim megajak semua penjawat awam agar bersama-sama beliau memulihkan negara dan mengeluarkan semua rakyat negara ini dari masa yang sukar.

Menurutnya, Malaysia pada suatu ketika dahulu telah mencapai suatu tahap membanggakan namun malangnya ia merosot.

Beliau berjanji akan menghormati disiplin penjawat awam dan tidak akan mengungkit sejarah lampau mereka.

“Saya harap semua penjawat awam bekerja dengan menghormati disiplin penjawat awam dan memperbetulkan kecuaian sebelum ini yang menjadi sejarah lampau.

“Saya tidak akan korek sejarah lama tetapi kita kena maju ke depan,” kata beliau dalam ucapan pertama beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.

Dalam ucapan itu juga, Anwar memberi jaminan akan menghormati kedudukan penjawat awam dan mempastikan semua menteri yang beliau lantik selepas ini mematuhi disiplin ini.

“Dari segi sejarahnya kerajaan silih pengganti, namun pejawat awam kekal dengan maksud mereka mengangkat sistem dengan peraturan, negara hukum dan wujudnya satu sistem perkhidmatan awam yang cekap dan segar,” kata beliau.

Menurut Anwar, kejayaan beliau sedikit sebanyak sebelum ini adalah kerana penjawat awam yang membantu beliau.

“Saya dulu berjaya sedikit sebanyak. Tetapi tidak mungkin ia berlaku tanpa tunggak perkhidmatan yang membantunya.

“Saya akan mendengar pandangan penjawat awam yang banyak pengalaman dan akan membuat cadangan balas selepas hadham semuanya selepas mendengar pengalaman mereka.

“Saya akan nasihat rakan-rakan menteri yang akan dilantik nanti untuk menghormati proses ini,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh penjawat awam.

Sehubungan dengan itu beliau mengajak kesemua penjawat awam bersama beliau bagi menjayakan usaha untuk memajukan negara.

“Bukan dari segi politik tetapi jalur perkhidmatan yang bebas, profesional dengan semangat untuk menjadikan manusia sebagai insan yang berguna,” kata Anwar.