Malaysia Dateline

Mari nantikan satu-satunya peguam terakhir Siti Bainun, Siti Asiah muncul di mahkamah – Dr Malar

Susulan perbicaraan kes Siti Bainun Ahd Razali yang ditangguh buat kesekian kalinya, spekulasi terus berlegar di media sosial mengatakan ia adalah taktik untuk menangguhkan prosiding kes.

Selepas tiga peguam mewakili Siti Bainun memaklumkan menarik diri dari perbicaraan kes, tumpuan kini terarah kepada peguam terakhir pengasas Rumah Bonda itu iaitu Asiah Abdul Jalil.

Asiah antara peguam yang lantang di media sosial sebelum ini mempertahankan anak guamnya dalam kes pengabaian dan penderaan terhadap seorang remaja Sindrown Down, Bella.

Atas faktor itu, Dr Malar Santhi Santherasegapan yang selama ini mengikuti rapat kes adik Bella, turut tidak terlepas mengulas hal ini dengan membuat seruan agar Asiah tampil hadir ke mahkamah pagi ini.

“Kalau ikut rekod mahkamah, hakim ada sebut, peguam yang masih on-record adalah Asiah Jalil dan Hafidzah Hassan.

“Tapi hakim ada cakap Hafidzah mengatakan dia tak lapang dari Januari hingga Mac. April baru lapang. Dia tak tarik diri, cuma tak lapang katanya.

“Satu-satunya peguam yang masih steady adalah Asiah Jalil. Sebab permohonan bertulis pun tak ada, tarik diri di mahkamah terbuka pun tak ada, apa pun tarak! Tak tahulah kalau dia dah submit dekat Facebook, tapi dekat mahkamah, hakim kata tak ada apa-apa submission.

siti bainun
#image_title

“Dia ini memang betul-betul peguam terakhir yang masih berdiri teguh kot,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada Mei dan Jun 2022, Dr Malar antara doktor perubatan yang hadir di mahkamah untuk mendengar proses prosiding kes Siti Bainun vs adik Bella.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital Cheras itu mengikuti perbicaraan kes adik Bella sejak awal dan sering berkongsi perjalanan kes tersebut di Facebook.

Dalam coretan di Facebook miliknya malam tadi, Dr. Malar juga secara sinis meluahkan rasa kasihan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Siti Bainun yang ditinggalkan begitu sahaja oleh peguam-peguamnya.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk sama-sama berdoa agar Asiah muncul di mahkamah hari ini bagi mewakili Siti Bainun.

Beliau berharap Siti Asiah kekal mempamerkan integriti dan komited seperti yang selalu dibanggakan di media sosial.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar peguam probono OKT iaitu Asiah Jalil yang sejak dari awal begitu bersemangat memperjuangkan kebenaran di pihak Bainun muncul esok untuk mewakili OKT yang ditinggalkan oleh 4 lagi firma guaman lain secara serentak.

“Sungguh tidak adil untuk OKT. Saya sangat kasihan kepada OKT, mentang-mentanglah kes dia diwakili secara probono, suka-suka hati je peguam lain tinggalkan dia.

“Semoga Asiah Jalil kekal komited dan berintegriti macam yang dia selalu pung pang pung pang dekat Facebook. Semoga dia muncul esok dan semoga kes diteruskan dengan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya lagi.

Baca lagi: Jemput penunggang agama jadi penceramah, KPMSI terima kecaman