Pelakon terkenal era 1980-an, Datin Maria Arshad dilaporkan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.
Ibu mentua kepada penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah itu difahamkan sedang berada di dalam keadaan tidak stabil dan separuh sedar di ICU berkenaan.
Penyampai radio yang mesra disapa Shiera itu memaklumkan bahawa Maria Arshad mulanya mengalami kekejangan otot di rumah sebelum segera dikejarkan ke hospital.
Menurut Shiera, ibu mentuanya sebelum ini mengadu sakit pada bahagian belakang badan yang melarat sehingga tangannya menjadi lemah dan juga sukar diangkat.
Maria kemudian dibekalkan dengan ubat tahan sakit selepas pakar perubatan pada waktu itu mendapati tiada gejala serius dikesan dalam badan, lapor Berita Harian.
“Mulanya pada hari Selasa lalu, Mama sakit urat pada bahagian belakang badan. Suami, Ijoy Azhari bawa ke hospital. Namun, doktor beritahu tiada penyakit serius.
“Keesokannya, adik ipar bawa Mama ke hospital sekali lagi. Apabila diambil darah, semuanya okay. Tiada darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang semua baik.
“Jadi ketika itu, doktor berikan ubat tahan sakit dan juga koyok untuk mengurangkan kesakitan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Keadaan Maria atau nama sebenarnya, Kamariah Arshad itu bagaimanapun semakin teruk pada malam kelmarin dan muntah-muntah hingga kejang otot akibat menahan sakit.
Shiera yang ketika itu sedang mengadakan bacaan Yasin bersama ahli keluarga segera bertindak memberi arahan kepada anaknya untuk menghubungi ambulans.
“Beliau tiada penyakit selain kurang garam dalam badan. Sebelum muntah dan kejang, Mama gelisah dan serba tidak kena. Sekejap duduk, berdiri serta berjalan ke depan dan belakang.
“Mama beritahu dia sangat sakit. Tidak tahu apa yang hendak dibuat, kami buat bacaan Yasin untuk Mama. Tidak lama selepas itu, beliau mengalami kekejangan.
“Saya terus minta anak hubungi ambulans,” ulasnya lalu memberitahu bahawa doktor belum menemui punca penyakit Maria yang juga bintang filem Langit Tidak Selalu Cerah itu.
Sebubungan dengan itu, Shiera mengambil kesempatan untuk memohon orang ramai agar mendoakan Maria Arshad supaya keadaannya kembali stabil dan pulih semula.
“Sekarang Mama berada dalam keadaan separuh sedar, matanya terbuka tapi dia tidak berikan apa-apa tindak balas. Doktor hendak jalankan beberapa ujian lagi.
“Kami minta doktor lakukan apa yang terbaik dan saya mohon kepada semua supaya tolonglah doakan Mama kembali pulih.” Pintanya.
Baca juga: Netizen terhibur Adam Lee sanggup cukur jambang, tak rela wajah disamakan dengan Alif Teega