Maria Chin bertanding atas tiket PKR pada PRU14

Maria Chin bertanding atas tiket PKR pada PRU14

Bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah akan bertanding sebagai calon bebas atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau yang masih tidak lagi menyertai mana-mana parti dalam gabungan Pakatan Harapan berkata, menyatakan kesediaannya menjadi calon  PKR untuk menyumbang kepada agenda reformasi parti itu.

“Saya nak ucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk bersama dalam keluarga PKR dan bertanding di bawah logo PKR.

“Kita telah kenal pasti negara ini perlukan perubahan. Ia bukan sahaja disebabkan SPR  (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengubah persempadanan bahkan ia telah melakukan lebih daripada sepatutnya dilakukan dalam proses sebuah pilihan raya yang bersih bagi sebuah negara.

“Apa yang utama kita jangan takut berubah untuk kehidupan masyarakat dan negara yang lebih baik di masa akan datang.

“Agenda reformasi saya menyokong manifesto Pakatan Harapan dan khususnya PKR. Saya akan membantu untuk membina hubungan dikalangan masyarakat sivil, parti-parti politik yang mana mencintai negara ini untuk bersama bekerjasama untuk tidak memberi peluang kepada kerajaan Umno-BN untuk mereka menang dan memerintah sekali lagi dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Setiausaha Majlis Presdiden PH Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Subang Sivarasa.

Ketika ditemui media Maria menyerahkan kepada kepimpinan PKR untuk beliau diberikan mana-mana kerusi sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada PRU14.

” Saya serahkan kepada kepimpinan PKR untuk buat keputusan.” ujarnya.

Bagaimanapun desas desus mengatakan beliau akan diberikan kerusi Parlimen, namun Nurul Izzah dalam sidang media berkata kepimpinan PKR belum lagi memutuskannya.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata dengan kesediaan Maria Chin bertanding tiket PKR sebagai meneruskan tradisi parti itu yang sebelum ini banyak memperkenalkan tokoh aktivis sebagai calon pilihan raya bagi parti itu.

” Kita meneruskan tradisi ini yang dilihat semakin berkembang.Suara aktivis akan menjadikan parti ini inklusif dan dipandang tinggi dalam mempertahankan idealisma perjuangan.

“Pengumumman hari ini memberi makna besar akan membuahkan hasil menerusi pencalonannya (Maria Chin) dalam PRU akan datang.

“Apa yang penting adalah menang pilihan raya untuk selamatkan negara.Perubahan hanya boleh berlaku jika kita bertindak,” ujarnya yang juga memaklumkan dalam tempoh terdekat ini akan diumumkan lagi beberapa tokoh NGO yang akan sertai PKR.

Maria Chin sebelum menyertai Bersih 2.0 merupakan seorang aktivis hak asasi manusia yang memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia.

Beliau pernah ditahan selama 10 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 2016 lalu kerana dikaitkan mendapat tajaan Open Society Foundation (OSF) milik George Soros.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote