Maria Chin kutuk tindakan polis tahan 2 Adun DAP, 5 individu di bawah Sosma

Maria Chin kutuk tindakan polis tahan 2 Adun DAP, 5 individu di bawah Sosma

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mengutuk tindakan anggota polis Bukit Aman menahan pemimpin politik dari DAP di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Khamis.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya penahanan tujuh individu yang dipercayai terlibat dengan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang sudah tidak wujud lagi sejak tahun 2009, di bawah Sosma.

“Sosma merupakan satu akta kejam yang menafikan hak seseorang untuk mendapatkan perbicaraan secara adil.

“Kerajaan Pakatan Harapan, sedang berusaha untuk mewujudkan ruang demokratik yang lebih besar untuk Rakyat Malaysia dan kita tidak boleh membenarkan akta-akta drakonian yang bertentangan dengan hak asasi manusia seperti ini untuk digunakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam dilaporkan dua Adun dari Melaka dan Negeri Sembuilan ditahan berasingan di bawah Sosma dipercayai terbabit dalam upacara perjuangan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan itu bersama lima suspek lain berada dalam pemantauan polis sejak November lalu.