Malaysia Dateline

Maria Chin nafi sokong PN

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menafikan beliau antara sasaran seterusnya untuk beralih kepada Perikatan Nasional.

Katanya, khabar angin yang ‘ganas’ sengaja dibuat pihak tidak bertanggungjawab mengatakan beliau bertukar kepada Perikatan Nasional (PN) mengikuti jejak dua MP PKR sebelum ini.

“Pendirian saya jelas. Tiada sesiapa yang patut menghalalkan kerajaan yang tidak sah yang sedang dalam proses merosakkan negara kita.

“Saya mahu reformasi dan bukan jualan jiwa,” katanya.

Beliau berkata, bagilah peluang rakyat membuat keputusan melalui pilihan raya demokrasi.

“Saya benar-benar menentang parti melompat atau menukar pakatan dalam gabungan,” kata beliau.

Semalam, dua ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN sekali gus meninggalkan PKR.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen terbabit iaitu Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.