Malaysia Dateline

Martabatkan Dasar Sastera Kebangsaan secara perundangan

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menggesa kerajaan memartabatkan Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) secara perundangan bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran ahli politik.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM) itu berkata, mesyuarat semakan semula DSK anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 23 April tahun lalu bagaimanapun kemudiannya tiada perkembangan lanjut ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apabila teraju Kementerian Pendidikan bertukar tangan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP juga akan berubah orangnya, adakah DSK ini akan diangkat ke kedudukan yang memiliki legitimasi dari sudut perundangan?

“Pertanyaan itu timbul di celah-celah imbauan sejarah 13 Mei beberapa hari lepas, tarikh sejarah hitam negara. Dari sudut sejarawi, DSK itu dirumuskan selepas negara bergelut dengan krisis perkauman 13 Mei 1969 akibat keghairahan politik kekuasaan merebut kuasa politik secara kasar dan biadab,” dipetik dari artikelnya.

Ekoran peristiwa berdarah itu, beliau berkata, satu testamen ideologi dalam bentuk Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirumuskan oleh kerajaan.

“Lanjutan daripada itu, DSK dikonsepsikan dalam rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16 Ogos hingga 20 Ogos 1971 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Teras utama DSK ialah bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dalam karya sastera.

“Sebuah negara bangsa yang direncamkan oleh pelbagai suku, kaum, ras dan etnik perlu memiliki satu nilai sepunya sebagai alat ideologinya. Oleh itu, sastera berbahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai asas sastera kebangsaan manakala karya berbahasa lain hanya dianggap sebagai sastera etnik,” jelasnya.

Sehubungan itu, tegasnya, pemaktuban DSK secara perundangan diharap akan membawa kepada penyediaan peruntukan berkaitan penghasilan, aktiviti, promosi dan sebagainya dalam belanjawan negara.

“Bukan sahaja di peringkat Pusat, bahkan di peringkat negeri juga sepatutnya peruntukan bagi mengangkat sastera kebangsaan akan disediakan dalam belanjawan tahunan.

“Kedudukan itu penting kerana bidang kesusasteraan sering tercicir daripada perkiraan dan pertimbangan para pembuat dasar.

“Malahan, punca kuasa bidang kesusasteraan juga masih dibolak-balikkan antara kementerian yang berlainan. Akibatnya ‘pendiri’ kesusasteraan dalam kalangan rakyat berdepan dengan kekeliruan untuk meminta bantuan,” tambah Dr Saleeh lagi.